Skip to main content

Malaysia

Banjir Sabah: Mangsa terus meningkat kepada 4,458 orang petang ini

41734342219_tbPPSBANJIR.jpg
Jumlah mangsa banjir di Sabah terus mencatatkan peningkatan kepada 4,458 orang setakat 4 petang ini berbanding 3,617 yang direkodkan pada 12 tengah hari tadi.

KOTA KINABALU: Jumlah mangsa banjir di Sabah terus mencatatkan peningkatan kepada 4,458 orang setakat 4 petang ini berbanding 3,617 yang direkodkan pada 12 tengah hari tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah dalam kenyataan memaklumkan semua mangsa daripada 1,505 keluarga itu ditempatkan di 22 pusat pemindahan yang beroperasi di lima daerah.

Advertisement

Berdasarkan data terkini, daerah Tenom terus merekodkan mangsa tertinggi dengan peningkatan kepada 2,406 orang daripada 795 keluarga yang berlindung di 13 pusat pemindahan sementara (PPS).

Jumlah mangsa di daerah Beaufort turut mencatatkan peningkatan kepada 1,231 orang daripada 384 keluarga yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Kekal (PPK) Selagon, PPS Dewan DUN Banir dan PPS baharu yang dibuka iaitu Dewan Kesenian dan Kebudayaan Bisaya.

Situasi banjir di tiga daerah iaitu Sipitang, Membakut dan Sook tidak menunjukkan sebarang perubahan jumlah mangsa berbanding tengah hari tadi.

Sipitang kekal merekodkan 421 mangsa daripada 176 keluarga diikuti Membakut (321 mangsa daripada 125 keluarga dan Sook (79 mangsa daripada 25 keluarga.

Secara keseluruhan, jumlah kampung yang terjejas akibat bencana banjir di kelima-lima daerah kekal 146 dan setakat ini, tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

-- BERNAMA

Must Watch Video