Jumlah mangsa yang dipindahkan akibat banjir bagi negeri sarawak setakat jam 8 malam tadi menurun kepada 1,012 orang.

Menurut laporan Sekretariat Jabatan Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBN) jumlah berkenaan merangkumi 260 buah keluarga yang ditempatkan di tiga pusat pemindahan sementara (PPS) iaitu di bahagian Sibu, Mukah dan Bintulu.

"Berdasarkan jumlah itu, PPS di Bintulu iaitu di Dewan Sukan Tatau mencatatkan jumlah tertinggi mangsa yang terpaksa dipindahkan iaitu seramai 602 orang, diikuti PPS di bahagian Sibu menempatkan 382 mangsa dan terakhir PPS di Mukah dengan jumlah 28 mangsa.

"Manakala berdasarkan laporan Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS), terdapat 43 buah sekolah masih ditutup, dimana membabitkan 3809 murid, 569 guru dan 248 staf bukan guru telah terjejas akibat banjir." menurut laporan itu.

Dalam pada itu pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Sarawak (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Rela, dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melakukan operasi menghantar bekalan makanan kepada mangsa-mangsa banjir.

Kesemua 14 tan bekalan makanan telah dihantar kepada kesemua mangsa-mangsa banjir di seluruh negeri melalui bantuan unit udara JBPM.

Berdasarkan Laporan Pasukan Pemantauan Unit Udara Bomba bersama Pegawai NADMA, keadaan banjir dilaporkan semakin surut namun didapati jalan perhubungan melalui darat masih lagi terputus.