KUCHING:Situasi banjir di Sarawak semakin pulih dengan jumlah kawasan terjejas semakin berkurangan.

Setakat jam 12 tengah hari, jumlah mangsa di pusat pemindahan sementara (PPS) menyusut kepada 1,208 orang berbanding 1,800 mangsa jam 8 pagi tadi.

Jumlah PPS juga berkurangan daripada 16 kepada 12 iaitu 10 di Serian dan masing-masing satu di Kuching dan Miri.

Berbanding Kuching dan Miri, Serian masih mencatat jumlah mangsa paling tinggi iaitu seramai 1,088 mangsa daripada 317 keluarga.

Kuching terus mencatatkan penurunan mangsa kepada hanya 113 daripada 24 keluarga. Kesemua mereka ditempatkan di PPS Dewan Masyarakat Haji Kamaruddin Segedup.

Sementara situasi di Miri tidak berubah dengan tujuh mangsa dari satu keluarga yang ditempatkan di PPS Balai Raya Kampung Batu 1.

JPBN Sarawak mengemaskini maklumat berkaitan mangsa banjir di negeri itu setiap empat jam.

Kemas kini keadaan banjir Sarawak setakat jam 12 tengah hari Ahad. - JPBN Sarawak