KEMAMAN:Jumlah mangsa banjir di Terengganu terus meningkat kepada 6,305 orang berbanding 5,900 lewat malam tadi.

Sehingga jam 8 pagi ini, sebanyak 49 pusat pemindahan sementara (PPS) telah diaktifkan, menempatkan 1,663 keluarga.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata, mangsa banjir di Kemaman, daerah yang paling teruk terjejas, terus bertambah sehingga kini mencecah 5,108 orang.

Menurutnya, bermula semalam, 1,238 keluarga yang terjejas dipindahkan ke 25 buah PPS secara berperingkat.

Ia disusuli daerah Hulu Terengganu yang menyaksikan seramai 805 mangsa terjejas, membabitkan 318 keluarga.

Mereka ditempatkan di 13 PPS yang diaktifkan bermula Jumaat.

Sementara itu, di Dungun, 381 mangsa dari 104 keluarga dipindahkan ke 10 PPS.

Mangsa banjir di daerah Setiu masih kekal dengan 11 orang, melibatkan tiga keluarga.

Sebuah PPS di Balai Raya Lama Kampung Bukit Nenas diaktifkan bagi menempatkan kesemua mangsa.