KUALA LUMPUR: Universiti Kebangsaaan Malaysia (UKM) menerusi misi bantuan banjir menyalurkan sumbangan sebanyak RM700,000 kepada mangsa bencana banjir di Selangor, baru-baru ini.

Menurut UKM, sumbangan itu diperolehi hasil kutipan daripada pelbagai agensi kerajaan, alumni dan juga pihak ketiga.

"Semua hasil kutipan itu telah diserahkan kepada mangsa banjir yang terjejas teruk termasuk mengalami kerosakan rumah dan harta benda sepanjang tempoh 14 hari misi tersebut digerakkan," kata UKM dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Isnin.

Selain bantuan kewangan, kenyataan itu memaklumkan, lebih 2,000 sukarelawan yang terdiri daripada kakitangan dan pelajar insitusi pengajian tinggi (IPT) itu turut menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir di kediaman dan pusat pelepasan.

Dalam masa sama, kumpulan sukarelawan itu turut turun ke lokasi-lokasi lain termasuk di Jelebu dan Mantin di Negeri Sembilan; Temerloh, Pahang dan Yan, Kedah yang juga yang terjejas akibat banjir baru-baru ini.









Dalam pada itu, Naib Canselor UKM, Prof Datuk Mohd Ekhwan Toriman beliau bersyukur dan berterima kasih kerana dana tersebut dikumpulkan begitu pantas ketika situasi meruncing dan mangsa banjir memerlukan bantuan dengan segera.

"Sebagai sebuah universiti watan, UKM amat prihatin dengan keperluan komuniti di sekitar dan juga di seluruh negara. Jadi, jika berlaku bencana alam seperti ini, UKM akan bersegera memberikan bantuan kepada yang amat memerlukan," ujarnya.

Misi berkenaan turut disertai Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Noraini Ahmad yang turun di beberapa lokasi bagi membantu masyarakat dan menghulurkan sumbangan.

Turut hadir beberapa wakil pengurusan tertinggi UKM seperti Timbalan Naib Canselor   Alumni dan Masyarakat (JIAM), Prof Datuk Norazah Nordin dan Pengarah Hal Ehwal Pelajar, Prof Madya Roslee Rajikan.