KUALA LUMPUR: Bantu atas nama Islam dan kemanusiaan.

Demikian tegas Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyeru setiap negara untuk bersatu hati dalam menentang keganasan yang ditunjukkan oleh rejim Zionis ketika ini.

Menurutnya, kezaliman dan ketidakperikemanusiaan Israel semakin menjadi-jadi kerana terdapat negara yang membisu. Ini termasuk negara-negara Arab dan negara-negara barat yang berkuasa.

"Kebiadaban Israel berterusan, kematian bertambah, anak-anak kecil yang tidak berdosa menjadi mangsa dan ini berlaku kerana negara-negara barat yang berkuasa dan beberapa negara Arab membisu menyebabkan Israel lebih bongkak, lebih sombong dan lebih berani.

"Kita mampu mengutuk, kita boleh mengutip dana, dan kita mampu berdoa kepada Allah SWT. Tetapi kita juga harus mendesak pemerintahan masing-masing termasuk Malaysia untuk berbuat sesuatu yang lebih bermakna atas nama Islam dan kemanusiaan," tegasnya menerusi video yang dimuat naik di laman Facebooknya pada Ahad.

Ujarnya, kebiadaban Israel mesti disanggah dan dicabar.

Ketika ini kata beliau yang juga Ahli Parlimen Port Dickson itu, negara-negara Arab lemah dan bisu. Ia diburukkan lagi dengan hipokrasi yang ditunjukkan oleh negara-negara barat ketika ini.

Oleh yang demikian, beliau menggesa kerajaan Malaysia untuk melakukan sesuatu yang lebih tegas dan sedaya upaya mencari penyelesaian demi keselamatan rakyat di Palestin.

Dalam pada itu, beliau turut menyeru rakyat untuk terus bersatu hati dengan menyalurkan bantuan menerusi inisiatif Viva Palestina dan My Aqsa Defenders bagi membantu rakyat Palestin ketika ini.