KUALA LUMPUR: Kerajaan akan meneruskan bantuan kepada mangsa bencana yang layak termasuk pemberian Bantuan Wang Ihsan (BWI) sebanyak RM1,000 kepada setiap ketua isi rumah (KIR).

Timbalan Menteri Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas Datuk Wilson Ugak Kumbong berkata, bantuan itu termasuk RM10,000 kepada waris bagi setiap mangsa yang meninggal dunia akibat bencana.

"Kerajaan menyediakan Bantuan Barangan Keperluan Asas (BBKA) bernilai RM2,500 kepada setiap KIR dan Bantuan Pembaikan Rumah (BPR) dengan had nilai maksimum sehingga RM5,000.

"Jika penilaian kerosakan rumah melebihi RM5,000, kerja-kerja baik pulih akan dilaksanakan oleh Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah dan Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan menggunakan peruntukan sedia ada di kementerian masing-masing,” katanya di Dewan Rakyat pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika soalan Datuk Anyi Ngau (GPS-Baram) mengenai jenis dan nilai bantuan yang disalurkan kepada mangsa bencana alam seperti banjir dan kebakaran tempat kediaman pada masa ini.

Mengulas lanjut, Wilson berkata bagi kejadian bencana yang berlaku di luar tempoh Monsun Timur Laut, kerajaan akan meneruskan pemberian BWI kepada setiap KIR yang layak.

"Bagi mangsa yang berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS), KIR warganegara Malaysia boleh merujuk kepada PPS masing-masing untuk mengemukakan permohonan bantuan, dan bagi yang tidak ke PPS boleh mengemukakannya kepada ketua komuniti masing-masing.

"Kelulusan permohonan itu adalah tertakluk kepada pengesahan pegawai daerah selaku Pengerusi Jawatankuasa Bencana Daerah," jelasnya.