KUALA LUMPUR: Pengagihan bantuan untuk rakyat Palestin di Malaysia dan yang berada di Palestin akan dipergiat di bawah program Musa'adah 3.0.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata setakat ini, agensi agama di bawah kementeriannya berjaya mengutip dana sebanyak RM3,328,502 sejak program Musa'adah 3.0 bermula pada 1 Jun lepas untuk disalurkan kepada rakyat Palestin.

Beliau berkata antara agensi terbabit ialah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia yang mengumpul sebanyak RM60,829 diikuti Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (RM2,129,000), Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) (RM333,355) dan Lembaga Tabung Haji (RM500,000).

Agensi lain Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) dengan kutipan sebanyak RM130,000, Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) (RM120,100), Yayasan Waqaf Malaysia (RM20,000), Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (RM25,218) dan Al Hijrah Media Corporation (RM10,000).

Zulkifli berkata agihan Musa'adah 3.0 pula mula dilaksanakan Jumaat menerusi bantuan sebanyak RM550,000 serta pek makanan JAWI Food Bank, YaPEIM dan YADIM kepada 1,100 keluarga Palestin di Malaysia selain bantuan tunai RM20,000 kepada Kedutaan Palestin di Malaysia.

"Agihan turut diserahkan kepada dua keluarga Palestin di Malaysia dalam kategori asnaf berupa wang tunai RM2,000 serta pek makanan JAWI Food Bank dan pembiayaan RM1 juta untuk yuran pengajian pelajar Palestin dan Syria di lima universiti awam termasuk Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Universiti Teknologi Malaysia, Universiti Sains Islam Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universiti Malaya," katanya.

Beliau juga berkata program Musa'adah 1.0 dan 2.0 berjaya mengagihkan sejumlah RM522 juta kepada 10 kelompok sasar di seluruh negara merentasi agama serta bangsa.

"Musa'adah 1.0, 2.0 dan 3.0 adalah inisiatif kecil daripada pihak kami sebagai pelengkap kepada pakej bantuan dan rangsangan ekonomi daripada kerajaan yang berjumlah RM340 bilion kepada rakyat Malaysia.

"Agihan bantuan ini ialah dalam bentuk wang tunai, dana perniagaan, latihan kemahiran, bank makanan, makanan sedia untuk dimakan, wakaf kesihatan (katil di ICU, monitor di ICU, pam picagari, pam infusi, mesin BIPAP, ventilator di ICU, ventilator di rumah, katil dan peralatan perubatan lain), projek baik pulih serta bina rumah, bantuan komputer riba dan sebagainya," katanya.

-- BERNAMA