Bantuan kepada rakyat pelbagai kaum di negara ini adalah tanggungjawab Barisan Nasional (BN) sekali gus bukti sokongan kuat masyarakat untuk kerajaan meneruskan 'tradisi membela rakyat'.

Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee berkata, kerajaan BN pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Perdana Menteri memikul tanggungjawab untuk mensejahterakan kehidupan rakyat tanpa mengira perbezaan kaum, agama, budaya termasuk idealogi politik.

"Kerajaan BN tidak akan berlaku zalim terhadap rakyat dengan menafikan hak mereka mendapat pembelaan sewajarnya.

"Oleh itu, tuduhan pihak tertentu kononnya bantuan kerajaan kepada rakyat sebagai umpan politik atau 'dedak' sangat tidak masuk akal.

"Harus diingat, kerajaan yang prihatin terhadap nasib rakyat sepertimana dilakukan BN selama ini sentiasa berusaha untuk memberikan yang terbaik," katanya dalam catatan terbaharu di blog umnobahagiancheras.blogspot.my miliknya.

Syed Ali mengulas kenyataan Najib yang menyelar segelintir pihak yang menyamakan bantuan kerajaan kepada rakyat sebagai dedak. Najib turut menyifatkan tindakan sedemikian sebagai keterlaluan terutama pada bulan Ramadan ini.

Mengulas lanjut, Syed Ali yang juga Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan berkata, peringatan Najib itu sepatutnya diambil iktibar oleh mereka yang sentiasa memusuhi UMNO dan BN.

"Semua harus jelas, soal bantuan terutama kepada golongan yang memerlukannya sebagai salah satu kewajipan yang perlu ditunaikan mengikut syariat Islam.

"Dalam konteks kerajaan yang memerintah, maka menjadi tanggungjawab pemimpin iaitu Najib bagi memastikan rakyat tidak terabai, terpinggir dan dizalimi dari segi pembangunan sama ada rohani dan jasmani.

"Oleh sebab itu, Najib selaku Perdana Menteri telah melakukan yang terbaik untuk kesejahteraan rakyat termasuk dari segi pembangunan dan kemudahan prasarana," jelasnya Syed Ali turut menyifatkan, pihak berkenaan terutama pembangkang sentiasa berada dalam kegelisahan dan tidak senang hati selagi mereka gagal menumbangkan kerajaan BN.

"Kerana kekecewaan dan kegilasahan itu, pembangkang mereka pelbagai cerita karut dan dakyah untuk menghakis sokongan rakyat terhadap kerajaan BN.

"Mereka kata kerajaan termasuk Perdana Menteri beri dedak, ini merupakan tuduhan jahat yang tidak sepatutnya berlaku," tegasnya.

Menurut Syed Ali, UMNO selaku parti yang menjadi tunjang kepada kerajaan BN akan melakukan yang terbaik bagi memastikan manfaat pembangunan negara turut dinikmati oleh rakyat terutama orang Melayu.

"Saya sungguh kesal kerana golongan oportunis sentiasa melakukan pelbagai dakyah dan persepsi negatif untuk memburukkan kerajaan.

"Sepatutnya golongan ini turut memikirkan bagaimana cara untuk meningkatkan kualiti kehidupan rakyat, bukannya sekadar mencemuh usaha murni kerajaan," katanya.