JERTIH: Bantuan khas banjir kepada 5,391 ketua isi rumah (KIR) di daerah Besut yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) akan dibayar selewat-lewatnya sebelum akhir bulan ini.

Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar berkata setiap KIR yang terlibat akan menerima bantuan sebanyak RM1,000 daripada kerajaan negeri.

"Kita menggunakan wang kerajaan negeri untuk bayaran khas kepada mangsa yang berpindah ke PPS.

"Agensi di peringkat kerajaan pusat seperti Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) juga telah menghantar permohonan kepada kerajaan Persekutuan tapi belum dapat apa-apa keputusan setakat ini, jadi kita 'on' (mulakan) dululah," katanya kepada pemberita selepas perasmian Program Himpunan Pertahan Kawasan Besut di sini, malam tadi.

Beliau sebelum itu mengumumkan perkara berkenaan kepada orang ramai yang hadir ketika berucap dalam majlis berkenaan.

Ahmad Samsuri berkata bentuk bayaran kepada penerima akan ditentukan nanti sama ada dimasukkan terus ke dalam akaun atau diberi secara tunai.

"Kelewatan pembayaran bantuan ini kepada mangsa banjir di daerah Besut disebabkan kita terpaksa membuat pemutihan, selepas semakan mendapati ada kes seperti pasangan suami dan isteri yang membuat permohonan sama di PPS berasingan," katanya.

Sebelum ini, mangsa banjir di Besut merungut kerana masih belum menerima bantuan RM1,000 yang dijanjikan kerajaan negeri, manakala mangsa banjir di daerah lain telah menerima bantuan itu secara berperingkat.

-- BERNAMA