KUALA LUMPUR: Lambakan barang yang dijual terlalu murah di platform e-dagang menjejaskan peniaga tempatan, termasuk peniaga Bumiputera.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, beliau mahu kementeriannya bersama Kementerian Kewangan dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menangani isu itu.
“Kita nampak ada lambakan, kita nampak ada aduan daripada pemilik kedai sebab sekarang ini banyak barang yang dijual terlalu murah.
“Peniaga kita, ramai Bumiputera yang sangat terkesan. Jadi saya mahu kalau boleh, kementerian saya bersama Kementerian Kewangan dan KPDN dapat menyelesaikannya,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam wawancara bersama The Tiger Show Podcast yang disiarkan Astro AWANI pada Khamis.
Fahmi mengakui usaha menangani masalah itu memerlukan masa, namun berharap langkah awal dapat dimulakan.
Beliau turut bimbang terhadap barangan elektrik dan elektronik yang dijual terlalu murah, khususnya pengecas yang mungkin tidak menepati piawaian Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM).
“Saya paling risau produk elektrik dan elektronik. Bila peralatan seperti pengecas, kadang-kadang kita nampak rumah terbakar, tidak mustahil akibat pengecas yang tidak menepati piawaian SIRIM,” katanya lagi.