Keluarga mangsa bas berlubang minta siasatan terperinci dilakukan ke atas insiden hingga mengorbankan murid Sekolah Kebangsaan Tok Bok, Wan Muhammed Adam Mohd Suria, 12 tahun, semalam.

Ibunya, Nik Hasmani Mohamad, 44 tahun, berkata, kejadian tersebut cukup mengecewakannya sekeluarga apabila tiada orang dewasa atau wakil penganjur di dalam bas tersebut bagi memantau murid-murid yang dalam perjalanan ke Bengkel Bahasa Inggeris.

"Saya difahamkan dalam bas tersebut tiada guru pengiring atau wakil penganjur, hanya ada murid dengan pemandu.

"Sepatutnya ada wakil dari penganjur atau orang dewasa bersama rombongan murid," katanya kepada media ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Bukit Baka di sini semalam.

Sementara itu, anak sulung Nik Hasmani, Wan Nur Fazlin Amira, 22 tahun, yang masih terkejut dengan kejadian menimpa adik bongsunya itu turut meluahkan hasrat untuk mengambil tindakan undang-undang.

"Kami mungkin ambil tindakan terhadap pihak berkenaan yang tidak mengambil kira aspek keselamatan peserta ketika mengendalikan aktiviti itu," katanya.

Menurutnya, kejadian tersebut perlu dijadikan pengajaran kepada semua pihak supaya tidak berulang pada masa akan datang atau mengorbankan lebih banyak nyawa.

"Pihak berkenaan sepatutnya bertanggungjawab sebab keselamatan murid bukan perkara main-main. Mereka semua masih kecil dan memerlukan pemantauan tambahan pula dalam kumpulan yang ramai.

"Kami juga berharap pihak pengusaha bas turut disiasat," katanya.


Semalam Sinar Harian melaporkan Wan Muhammed Adam maut digilis selepas terjatuh dari bas apabila lantai kenderaan dinaikinya itu berlubang dalam kejadian 12.50 tengahari di Kampung Kandis, Pasir Puteh semalam.

Murid darjah enam itu dikatakan bersama rombongan Sekolah Kebangsaan Tok Bok, Machang dalam perjalanan ke Bukit Keluang, Terengganu bagi mengikuti Bengkel Bahasa Inggeris.

Kejadian dipercayai berlaku apabila Wan Muhammed Adam dan beberapa rakan berdiri di bahagian hadapan bas berhampiran tangga sebelum lantai bas tiba-tiba berlubang secara menyebabkannya terjatuh ke atas jalan raya.

Mayat dihantar ke Hospital Tengku Anis untuk bedah siasat dan jenazah dikebumikan pada jam 10.10 malam tadi selepas solat jenazah di rumah keluarga di Kampung Kok Kiak di sini.