BUKIT MERTAJAM: Sebuah bas ekspres dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh 10 kenderaan lain dalam kejadian di Kilometer 139.2 Lebuhraya Utara Selatan, arah Selatan, dekat Perai, pada Isnin.

Kejadian berlaku kira-kira jam 2.40 petang ketika bas ekspres berkenaan dipercayai sedang dalam perjalanan dari Butterworth menuju ke Ipoh, Perak.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) Asisten Komisioner Shafee Abd Samad berkata, hasil siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila bas ekspres tersebut dikatakan hilang kawalan sebelum merempuh sebuah kenderaan di hadapannya.

"Bas ekspres tersebut seterusnya melanggar 10 lagi kenderaan lain yang berada di laluan sama," katanya dalam kenyataan di sini.

Katanya, mangsa yang mengalami cedera ringan dalam kejadian itu dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk menerima rawatan.

Terdahulu, insiden tersebut tular di platform media sosial antaranya Facebook apabila pengguna jalan raya berkongsi video memaparkan detik kejadian.

Dalam kejadian itu, kelihatan  bas ekspres yang dipandu di lorong kanan hilang kawalan sebelum melanggar belakang sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dan seterusnya dilihat merempuh beberapa kenderaan lain yang kesemuanya dianggarkan 10 kenderaan.

Kejadian itu menyebabkan berlaku kesesakan trafik kira-kira 15 kilometer sebelum trafik kembali lancar sekitar jam 4.50 petang.

Menurut Shafee, kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Polis memohon pengguna lebuhraya yang menyaksikan kejadian agar tampil membantu siasatan atau menghubungi pegawai penyiasat trafik, Inspektor Mohd Sufi Abdul di talian 0134774542 atau 04-5382222.