SEREMBAN: Kerjasama yang dibentuk antara anggota kabinet Kerajaan Perpaduan tidak terjejas susulan isu pendedahan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung Lembaga Tabung Haji (TH).
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyokong keputusan kerajaan untuk mendedahkan keseluruhan laporan itu.
“Datuk Seri (Ahmad) Zahid dan rakan-rakan menyokong pendedahan keseluruhannya. Oleh itu, tiada soalan mengenai kolaborasi akan diteruskan,” katanya kepada media selepas solat Jumaat di Masjid Qaryah Paroi Jaya, di sini, hari ini.
Anwar berkata Ahmad Zahid turut menunjukkan sikap positif terhadap usaha mendedahkan laporan berkenaan.
“(Ahmad) Zahid telah sangat positif dalam membenarkan ini dibincangkan,” ujar Anwar.
Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata isu yang dibangkitkan dalam laporan RCI Tabung Haji merupakan perkara serius yang perlu dilihat dari sudut amanah serta tadbir urus institusi.
Menurut beliau, laporan itu perlu didedahkan supaya kandungannya dapat diteliti, difahami dan dibahaskan secara menyeluruh oleh semua pihak.
Krisis kewangan TH yang bermula dengan isu ketidakpadanan aset dan liabiliti membawa kepada pelaksanaan pelan pemulihan berskala besar, sebelum disusuli penubuhan RCI bagi menyiasat isu-isu berbangkit bagi tempoh 2014 hingga 2020.