Akibat kegagalan brek berfungsi, sebuah bas kilang merempuh 14 kenderaan yang sedang berhenti di persimpangan lampu isyarat Amanjaya Sungai Petani, pagi ini.

Kejadian berlaku kira-kira jam 7.20 pagi ketika terdapat ramai pengguna jalan raya di jalan terbabit, sama ada yang menghantar anak ke sekolah atau ke tempat kerja.

Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Muda, ACP Adzli Abu Shah, ketika kejadian, terdapat lebih 20 kenderaan sedang berhenti di persimpangan lampu isyarat itu.

Sebuah bas kilang yang membawa pekerja, datang dari arah Taman Anggerik, gagal membrek lalu merempuh kenderaan yang sedang berhenti.

Jelas Adzli, keadaan jalan yang menuruni bukit mengakibatkan bas mengelongsor dengan laju lalu merempuh bahagian belakang kenderaan.





Akibat rempuhan itu, terdapat beberapa pekerja di dalam bas kilang terbabit yang terpelanting keluar dan jatuh di bahu jalan.

Siasatan awal mendapati, bas kilang terbabit mengalami masalah pada sistem brek.

Bagaimanapun, menurut Adzli, polis telah menahan pemandu bas kilang berusia lingkungan 30-an untuk siasatan lanjut.





Mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani, untuk rawatan lanjut manakala mangsa yang mengalami cedera ringan menerima rawatan di tempat kejadian oleh Angkatan Pertahanan Awam dan Paramedik Hospital Sultan Abdul Halim.

Tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana kerana memandu dengan tidak cermat.