Skip to main content

Malaysia

Batik Air batal lapan penerbangan Malaysia-Jakarta akibat letusan Anak Krakatau

Batik Air Malaysia -- FB
Syarikat penerbangan itu berkata keputusan tersebut dibuat selepas penilaian operasi terkini dijalankan bagi memastikan keselamatan penumpang, kru dan operasi penerbangan. -Gambar fail/Facebook
Advertisement

KUALA LUMPUR: Batik Air membatalkan semua penerbangan terus antara Kuala Lumpur dan Jakarta hari ini susulan letusan berterusan Gunung Anak Krakatau di Selat Sunda, Indonesia.

Syarikat penerbangan itu berkata keputusan tersebut dibuat selepas penilaian operasi terkini dijalankan bagi memastikan keselamatan penumpang, kru dan operasi penerbangan.

Menurut kenyataan Batik Air, syarikat itu terus memantau perkembangan semasa serta berhubung rapat dengan pihak berkuasa penerbangan dan pengendali lapangan terbang sebelum memutuskan pembatalan berkenaan.

Aktiviti Gunung Anak Krakatau yang terletak di Selat Sunda antara Pulau Jawa dan Sumatera menyebabkan kehadiran abu vulkanik di ruang udara yang boleh menjejaskan jarak penglihatan, mengganggu sistem navigasi pesawat serta menjejaskan prestasi enjin.

Batik Air memaklumkan sebanyak lapan penerbangan berjadual antara Malaysia dan Jakarta terjejas akibat perkembangan berkenaan.

Penerbangan yang dibatalkan ialah OD398, OD399, OD346, OD347, OD388, OD389, OD390 dan OD391.

Daripada jumlah itu, enam penerbangan melibatkan laluan antara Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dan Jakarta.

Dua lagi penerbangan yang terpaksa dibatalkan adalah perkhidmatan antara Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang dan Jakarta.

Batik Air berkata penumpang yang terkesan boleh menukar jadual perjalanan mereka kepada penerbangan syarikat itu yang berikutnya.

Bagaimanapun, penjadualan semula tersebut tertakluk kepada kekosongan tempat yang tersedia pada penerbangan berkenaan.

Selain itu, penumpang turut diberi pilihan untuk memohon bayaran balik bagi tiket penerbangan yang terjejas.

Syarikat penerbangan itu menasihatkan penumpang supaya mendapatkan maklumat terkini melalui saluran rasmi Batik Air sebelum meneruskan perjalanan.

Must Watch Video

Advertisement