BATU PAHAT: Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Johor menetapkan penutupan sekolah di seluruh negeri berkenaan hanya akan dilaksanakan sekiranya bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) melebihi paras 200, mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor Muhammad Naqib Md Ghazali berkata Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan pihak sekolah diminta sentiasa mengemas kini maklumat bacaan IPU semasa bagi membolehkan makluman pantas disalurkan kepada ibu bapa, pelajar dan guru.
Beliau berkata setakat pagi ini, beberapa daerah merekodkan bacaan IPU tahap tidak sihat, iaitu Segamat (157), Batu Pahat (157), Tangkak (153) dan Kluang (151).
“Jadi, kami sudah berbincang dengan JPN. Sekiranya bacaan melebihi 200, sesi persekolahan akan ditutup. PPD dan guru besar perlu segera mewujudkan platform komunikasi yang berkesan supaya isu ini dapat ditangani dengan baik,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Suria Jaya di sini hari ini.
Muhammad Naqib berkata kerajaan negeri dan JPN turut memantau pelaksanaan aktiviti luar bilik darjah bagi memastikan keselamatan murid terjamin sepanjang fenomena cuaca panas dan jerebu melanda.
“Saya difahamkan JPN sudah menyediakan SOP bagi pelaksanaan aktiviti luar dan penutupan sekolah... kami bersedia melaksanakannya. Ketika ini, kita berdepan cuaca panas dan perlu mengambil serius perkara ini. Jika perlu kurangkan aktiviti luar, kita kurangkan,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Muhammad Naqib memaklumkan kerajaan negeri menerusi JPN merancang menubuhkan jawatankuasa khas bagi mengatasi masalah penyelenggaraan infrastruktur sekolah di Johor.
Beliau berkata jawatankuasa pemantauan di lapangan itu akan dianggotai pelbagai pihak termasuk PPD, pengetua dan guru besar bagi memastikan tindakan penyelesaian mengikut keutamaan mendesak dapat dilaksanakan secara berkesan.
Lawatan beliau ke SMK Suria Jaya itu bagi meninjau pembukaan sekolah berkenaan yang sebelum ini dikategorikan sebagai “projek sakit” selepas terbengkalai selama 11 tahun, yang kini mula beroperasi bagi fasa pertama melibatkan 222 pelajar tingkatan satu hingga tiga.
-- BERNAMA