Skip to main content

Malaysia

Batik Melaka- Dutch berpotensi jadi produk pelancongan baharu

Ab Rauf Yusoh
Ab Rauf merasmikan Festival Malakka Dutch @ Melaka pada Sabtu - Foto Facebook/Datuk Seri Ab Rauf Yusoh
Advertisement

MELAKA: Batik Melaka-Dutch yang menggunakan elemen bunga kesidang dan tulip berpotensi dipromosikan sebagai produk pelancongan baharu hasil jalinan warisan dan budaya antara Melaka dengan Belanda yang wujud sejak sekian lama.

Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan Melaka (Tourism Melaka) Nasrul Ahmad berkata produk berkenaan yang diperkenal dan dirasmikan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh pada Festival Malakka Dutch @ Melaka pada Sabtu dihasilkan seorang pereka fesyen tempatan yang terkenal di peringkat antarabangsa, Karl Ho.

"Kita menyambuat baik penghasilan Batik Melaka-Dutch yang mengetengahkan elemen bunga kesidang iaitu bunga rasmi negeri Melaka manakala tulip yang sinonim dengan Belanda.

"Kita akan membawa perkara ini ke peringkat kerajaan negeri untuk melihat kesesuaian menjadikan Batik Melaka-Dutch sebagai produk pelancongan baharu sekali gus mempromosikannya secara lebih meluas," katanya selepas majlis perasmian festival berkenaan yang turut dihadiri Duta Besar Belanda ke Malaysia Jacques Werner.  

Terdahulu, Nasrul berkata Festival Malakka Dutch @ Melaka, yang memasuki penganjuran tahun ke-10 itu, melibatkan 12 pengisian program dengan penyertaan lebih 3,000 orang terutama pelajar sekolah.

Beliau berkata penganjuran festival yang bertema pelancongan pendidikan pada tahun ini bertujuan memberi pendedahan berkaitan hubungan sejarah, warisan dan budaya antara Melaka dan Belanda.

"Dari tahun ke tahun penganjuran festival ini, kita dapat lihat banyak penambahbaikan dari segi pengisian program untuk mencapai matlamat iaitu memberi pendedahan berkaitan hubungan baik antara Melaka dan Belanda.

"Antara pengisian program yang berlangsung selama sehari sejak pagi tadi hingga malam ini ialah bazar jualan kraf tangan dan kuih-muih tradisional serta demonstrasi permainan Belanda," katanya.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement