KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen dinasihati membawa isu kepentingan rakyat di kawasan masing-masing untuk dibahaskan dalam Dewan Rakyat.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Ramli Mohd Nor berkata, melihat pada retorik-retorik yang dibahaskan, ia langsung tidak melambangkan aspirasi seorang wakil rakyat.

"Saya ingin menasihati agar masa diberikan untuk kita berbahas, cuba tumpukan pada kawasan-kawasan.

"(Ini) kerana kalau kita lihat retorik-retorik berkaitan, tidak melambangkan aspirasi Yang Berhormat yang hadir dalam dewan yang mulia ini," katanya.

Beliau berkata demikian sebelum memulakan sesi pertanyaan bagi jawab lisan pada Rabu.

Dalam pada itu, Ramli juga mengingatkan Ahli Parlimen baharu mengenai cokmar yang merupakan alat kebesaran yang telah dikurniakan oleh Raja-Raja Melayu dan menjadi simbol kuasa diraja dan seterusnya kuasa Parlimen.

"Tanpa cokmar itu, apa yang kita laksanakan di dalam dewan ini tiada keabsahan," katanya.

"Untuk makluman, terutama mereka yang baharu di dalam dewan yang mulia ini, ingin saya ingatkan kehadiran cokmar ini adalah sebagaimana dianugerahkan oleh Yang di-Pertuan Agong, yang melambangkan sembilan Raja-Raja Melayu," ujarnya.

Mesyuarat Pertama Dewan Rakyat Penggal Kedua Parlimen ke-15 ditambah selama dua hari lagi iaitu pada 3 dan 4 April depan bagi membolehkan beberapa rang undang-undang (RUU) dan urusan kerajaan dibentangkan dan diputuskan di Dewan Rakyat.

Perkara itu ditetapkan Perdana Menteri selaku Ketua Majlis Mesyuarat, selaras dengan Peraturan Mesyuarat 11(2) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.