Geran Khas Prihatin (GKP) bagi pengusaha Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) mikro yang rayuan mereka diluluskan akan mula dibayar mulai Khamis ini.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, berkata pembayaran itu melibatkan implikasi kewangan sebanyak RM65.95 juta.

"Bagi PKS Mikro yang gagal kredit (tidak menerima wang) mungkin kerana butiran akaun bank tidak tepat atau tiada akaun bank. Penerima GKP diminta mengemaskini butiran mereka di https://gkp.hasil.gov.my," ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan media Laporan Ke-11 Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (Laksana) bagi Pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA), di sini, pada Selasa.

Sementara itu, bagi program subsidi upah pula katanya, sehingga 26 Jun lalu, sebanyak RM7.07 bilion telah diluluskan bagi 307,518 majikan yang memanfaatkan lebih 2.46 juta pekerja.

Sementara untuk Program Bantuan Majikan COVID-19 (e-CAP) KWSP, beliau memberitahu, sehingga 26 Jun lalu, sebanyak 36,107 permohonan telah diterima dan sebanyak 9,542 permohonan telah diluluskan bernilai RM63.9 juta bagi caruman KWSP majikan.

"Ingin saya tekankan di sini bahawa KWSP akan membuat pemantauan rapat untuk memastikan caruman yang distruktur semula akan tetap dibayar pada masa hadapan.

"Tindakan boleh diambil ke atas majikan yang tidak menunaikan tanggungjawab masing-masing dari segi caruman untuk tabung persaraan pekerja," tegasnya.

Sementara itu Tengku Zafrul berkata, bagi Skim Kredit Mikro Bank Simpanan Nasional, sebanyak 7,577 permohonan daripada peniaga mikro telah diluluskan dengan nilai RM260.6 juta manakala sejumlah 25,071 permohonan program Tekun Nasional diluluskan yang bernilai RM191.50 juta.

Menurutnya, bagi PENJANA di bawah program MY30, kerajaan telah memperuntukkan RM200 juta membabitkan penggunaan tanpa had dengan bayaran RM1 sehari selama 30 hari bagi semua pengangkutan rel Transit Aliran Ringan (LRT), Transit Aliran Massa (MRT), KL Monorail dan perkhidmatan bas BRT, Bas RapidKL dan Bas Pengantara MRT di Lembah Klang.

Setakat 28 Jun lalu katanya, sebanyak 66,692 pas telah terjual manakala subsidi kerajaan bagi pas-pas ini bernilai RM11.3 juta.

Beliau berkata bagi program subsidi upah ditambah baik dengan peruntukan RM5.3 bilion, pekerja sektor pelancongan dan sektor dilarang beroperasi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat yang diberi cuti tanpa gaji layak menerima kemudahan itu dengan syarat ia diterima secara langsung.

Selain itu, Tengku Zafrul berkata Penjana Kerjaya telah dilancarkan di bawah PENJANA bagi membantu perniagaan dan rakyat yang terkesan oleh krisis COVID-19 membabitkan peruntukan sebanyak RM1.5 bilion yang bermula 15 Jun lalu.

“Program ini bertujuan untuk merangsang penjanaan pekerjaan dan bagi membantu pencari kerja daripada golongan tertentu yang mencari peluang pekerjaan,” katanya.

Beliau turut menambah bahawa kerajaan juga memperuntukkan sebanyak RM108 juta bagi bantuan sosial golongan mudah terjejas di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dengan lebih 28,000 pendaftaran baharu telah diterima bagi ibu tunggal setakat 25 Jun lalu.

Bagi tujuan itu katanya, maklumat diterima itu sedang disemak silang dan tarikh bayaran bantuan secara sekali beri sebanyak RM300 akan diumumkan dalam masa terdekat.

"Tempoh pendaftaran terbabit masih dibuka sehingga 31 Oktober ini," katanya