MARUDI: Tiga bayi antara 17 mangsa banjir yang dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Suarah Marudi sehingga malam tadi.

Keadaan banjir di Marudi yang bermula sejak 27 Januari lalu semakin memburuk akibat hujan berterusan yang berlaku di bahagian hulu.

Menurut jurucakap Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Miri Azuan Kamin, hanya sebuah kampung yang terjejas setakat ini iaitu Kampung Padang Kerbau.

Keadaan sungai, katanya, menunjukkan trend meningkat namun paras air dijangka kembali normal kerana hujan telah pun berhenti.

"PPS di Dewan Suarah Marudi dibuka pada jam 6 petang dan hanya 17 orang daripada lima keluarga ditempatkan di sini.

"Mereka terdiri daripada enam dewasa, enam kanak-kanak, dua warga emas dan tiga bayi," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Antara pasukan yang terlibat dalam gerakan pemindahan termasuk APM, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).