JASIN: Seorang bayi lelaki berusia dua bulan maut dalam kemalangan membabitkan enam kenderaan termasuk sebuah treler membawa muatan kereta di Kilometer 184 Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) menghala ke selatan di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Jasin DSP Ahmad Jamil Radzi berkata Mohamad Sufyan Mohamad Shahizwan, yang merupakan anak bongsu daripada dua beradik meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Melaka kira-kira 2.55 petang.

Beliau berkata dalam kejadian kira-kira 11 pagi tadi, tujuh individu terdiri daripada pemandu dan penumpang kenderaan terlibat turut cedera ringan seperti luka di bahagian kaki dan tangan selain sakit dada, tengkuk dan belakang badan ekoran pelanggaran.

"Kira-kira 11.08 pagi tadi, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin menerima maklumat daripada orang awam berkaitan kemalangan jalan raya yang membabitkan enam kenderaan iaitu sebuah lori, pacuan empat roda jenis Ford Ranger, Perodua Myvi, Mercedes Benz, treler membawa muatan kereta dan Perodua Ativa.

"Siasatan awal mendapati sebelum kejadian itu, keenam-enam kenderaan terbabit menghala ke selatan namun sebaik sampai di lokasi kemalangan, treler berkenaan dipercayai hilang kawalan lalu merempuh Perodua Ativa yang berada di lorong kiri," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata Perodua Ativa berkenaan dipandu bapa bayi lelaki itu, Mohamad Shahizwan Abd Hamid, 35, yang merupakan anggota polis trafik di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya dan pelanggaran itu menyebabkan mangsa yang berada dalam kerusi bayi di bahagian belakang mengalami kecederaan parah di kepala dan badan.

Menurut Ahmad Jamil, Mohamad Shahizwan dan anaknya, Mohamad Safwan, 3, tidak mengalami kecederaan manakala isterinya, Nurmadiha Nisa Suhaimi, 34, mengalami sakit badan.

Beliau berkata keluarga terbabit dalam perjalanan pulang ke kampung mereka di Kluang, Johor untuk mengadakan kenduri akikah bayi lelaki berkenaan.

Treler berkenaan, katanya turut merempuh empat lagi kenderaan terlibat dari arah belakang selepas merempuh Perodua Ativa itu.

Pemandu treler berusia 39 tahun itu ditahan di Hospital Melaka bagi mendapatkan rawatan kerana mengalami tekanan darah rendah dan sampel darahnya turut diambil untuk dihantar ke Jabatan Kimia.

Kemalangan itu disiasat lanjut di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

-- BERNAMA