SEREMBAN: Seorang bayi perempuan dipercayai baru dua hari dilahirkan, ditemui ditinggalkan dalam sebuah kotak di pondok bas berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) FELDA Sri Sendayan, di sini, pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd Said Ibrahim berkata, bayi dalam keadaan sihat itu ditemui kira-kira jam 11.58 pagi.

"Bayi itu kemudian dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) Seremban untuk pemeriksaan lanjut dan siasatan diteruskan mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-kanak 2001," katanya dalam kenyataan di sini, pada Isnin.

Dalam pada itu, beliau memohon kerjasama masyarakat atau saksi kejadian untuk tampil memberi maklumat kepada pihak polis bagi mengesan ibu bapa bayi berkenaan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes ini boleh menghubungi pegawai penyiasat kes iaitu Inspektor Adi Khusaini Saripudin di talian 012-7778789,” tambahnya.