NATIONAL
Bazar Ramadan Sabindo Plaza perkenal makanan etnik di Tawau

Pelbagai jenis juadah termasuk moden dan tradisional dijual di bazar Ramadan. - Gambar hiasan
TAWAU: Bazar Ramadan Sabindo Plaza di sini yang menempatkan lebih 100 gerai makanan dan minuman bukan sekadar simbol keharmonian kerana dikunjungi masyarakat berbilang kaum malah menjadi platform memperkenalkan makanan warisan etnik di Sabah.
Bagi peniaga Amjah Bacok yang menjual 42 jenis kuih, makanan adalah warisan bangsa namun pada era ini sajian tradisi berkenaan semakin kurang kerana didominasi oleh makanan hipster.
Justeru, untuk memastikan sajian turun-temurun tidak dilupakan generasi akan datang dia turut menjual kuih tradisi Bugis seperti pisang talemmek, barongko dan bolu peca.
"Biar mereka rasa dan ambil tahu tentang warisan yang ada. Misalnya, kita jual pisang talemmek, kebiasaannya makanan ini disajikan dalam majlis khas Bugis iaitu perkahwinan, termasuk kenduri akikah, bahan utama digunakan ialah pisang raja dan kacang."Selalu mendapat permintaan tinggi ialah barongko, menggunakan pisang berangan yang dikisar halus, dan bahan lain seperti santan yang kemudian dibungkus dengan daun pisang serta dikukus," katanya kepada Bernama.
Amjah, 57, yang sudah berniaga lebih 17 tahun itu berkata gerainya turut menjual makanan Bugis, seperti kapurung iaitu makanan berasaskan sagu serta bubur pisang ijo.
"Kesemua makanan yang dijual dibuat oleh isteri dengan dibantu dua anak pada setiap hari, semua kuih dijual pada harga RM3 satu pek manakala bubur pisang ijo, kapurung dan barongko dijual RM5," katanya.
Sementara itu, seorang lagi peniaga Ika Ramli, 37, menjual makanan popular kaum Bajau serta Suluk, seperti putu ubi kayu, latok iaitu rumpai laut serta kilau yang diperbuat daripada ikan mentah yang diperah cuka dan dicampur mangga.
"Di Semenanjung kita ada putu piring atau putu bambu, tapi di Sabah kita ada makanan tradisi putu ubi kayu, makanan ini cepat laris dan disukai oleh berbilang kaum, bahan untuk ini kita peroleh dari Semporna.
"Di samping itu, kami juga menjual ikan bakar seperti ikan kayu (tongkol), ikan putih, belais serta cencaru di samping ada udang galah dan sotong bakar, semua bekalan laut ini kami peroleh dari Semporna, tidak lengkap jika putu dijual tanpa ikan bakar," katanya yang lebih lima tahun menjual di bazar ramadan.
Menurut Ika, harga jualan ikan bakar itu antara RM15 hingga 17 mengikut saiz ikan dan sambutan begitu memberangsangkan pada tahun ini dan pendapatan boleh mencecah hingga RM800 sehari.
Bagi pengunjung Mohd Alim Basa, 35, berkata suasana bazar di situ meriah bukan hanya dikunjungi masyarakat pelbagai kaum, tetapi kerana variasi makanan daripada tradisi sehingga ke makanan barat dan Korea.
"Saya asal dari Perak dan bekerja di sini, ada beberapa gerai makanan menjual makanan tradisi untuk etnik di Sabah, menarik saya sudah rasa barongko dan bubur pisang ijo, makanan pencuci mulut yang sedap jika dimakan sejuk-sejuk, harga pun berpatutan," katanya.
-- BERNAMA

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami