KUALA LUMPUR: Kelab Penyokong Kerajaan MADANI (BBC) menyarankan kerajaan membentangkan pelan mitigasi menyeluruh bagi memastikan pelarasan peruntukan tidak menjejaskan mutu perkhidmatan kesihatan awam negara.
Pengerusinya Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata walaupun keperluan pengukuhan fiskal negara difahami dalam konteks ekonomi semasa, ia susulan kegusaran awam terhadap cadangan unjuran penstrukturan belanjawan negara, khususnya melibatkan sektor kesihatan yang dianggarkan mencecah RM3 bilion.
Advertisement
Beliau berkata bagi menjamin kelestarian sistem kesihatan negara dalam jangka sederhana dan panjang, pelaksanaan inisiatif dalam Kertas Putih Kesihatan perlu dipercepat termasuk peralihan kepada pendekatan penjagaan kesihatan yang lebih menyeluruh dan berteraskan kesejahteraan rakyat.
“Selaras dengan hasrat itu, pengenalan Pelan Insurans dan Takaful Perubatan dan Kesihatan (MHIT) Asas wajar disegerakan sebagai mekanisme pembiayaan alternatif bagi mengurangkan kebergantungan kepada dana Persekutuan, sekali gus menjamin sistem kesihatan yang inklusif, mampan dan mampu milik,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dr Zaliha yang juga Ahli Parlimen Sekijang berkata BBC turut mencadangkan kerajaan menangguhkan sementara pembinaan hospital baharu dan memberi keutamaan kepada menaik taraf fasiliti sedia ada termasuk memastikan ketersediaan peralatan perubatan.
Beliau berkata usaha memperkukuh kapasiti pengeluaran ubat-ubatan dan peranti perubatan tempatan juga perlu dipertingkatkan bagi menjamin sekuriti bekalan kesihatan negara.
“Agenda membaik pulih klinik kesihatan daif perlu kekal sebagai keutamaan dengan menaik taraf fasiliti penjagaan primer sekurang-kurangnya kepada kapasiti Klinik Kesihatan Jenis 4, sekali gus meningkatkan keupayaan rawatan pada peringkat komuniti dan mengurangkan kesesakan di hospital awam,” katanya.
Dr Zaliha berkata kelangsungan Skim Perubatan MADANI perlu diteruskan kerana terbukti berperanan sebagai penampan dalam mengurangkan kebergantungan pesakit bagi rawatan kes ringan di hospital awam.
Beliau berkata kebajikan dan kelangsungan petugas kesihatan mesti terus diberi perhatian dengan penstrukturan belanjawan dilaksanakan secara teliti bagi mengelakkan kesan rantaian terhadap beban tugas, kelesuan melampau serta penghijrahan tenaga pakar ke sektor swasta.
“Sebagai rakan strategik kerajaan, BBC akan terus memainkan peranan semak dan imbang yang konstruktif bagi memastikan setiap dasar kewangan negara berpaksikan kesejahteraan rakyat serta kelestarian sistem perkhidmatan awam,” katanya.
Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata langkah penyusunan semula perbelanjaan kerajaan tidak menjejaskan sektor kritikal seperti kesihatan dan pendidikan.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata pengambilan doktor dan jururawat baharu serta pembinaan klinik tidak terkesan manakala projek pembinaan sekolah termasuk penambahan kelas baharu diteruskan seperti dirancang.
-- BERNAMA