Skip to main content

Malaysia

BDR: Kepercayaan antara majikan, pekerja penting untuk kesihatan mental – Pakar

KULAI, 15 April -- Kakitangan Jabatan Kesihatan Negeri Johor, Farah Hanani Mohd Lazim, 40, melakukan urusan kerja pejabat di kediamannya selaras dengan pelaksanaan Bekerja Dari Rumah (BDR) yang bermula hari ini ketika tinjauan di Bandar Indahpura di sini.  Pelaksanaan Dasar BDR bagi sektor perkhidmatan awam yang merupakan sebahagian langkah strategik kerajaan bagi memperkukuh kesiapsiagaan menghadapi krisis tenaga global susulan konflik di Asia Barat.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Prinsip saling percaya antara majikan dan pekerja ketika pelaksanaan dasar Bekerja Dari Rumah (BDR) wajar menjadi keutamaan bagi memastikan kelancaran tugas serta membantu pekerja menjaga kesihatan mental mereka. - Gambar hiasan/ Bernama

KUALA LUMPUR: Prinsip saling percaya antara majikan dan pekerja ketika pelaksanaan dasar Bekerja Dari Rumah (BDR) wajar menjadi keutamaan bagi memastikan kelancaran tugas serta membantu pekerja menjaga kesihatan mental mereka.

Pegawai Psikologi Kanan Bahagian Perkhidmatan Sumber Manusia Universiti Putra Malaysia, Siti Fatimah Abdul Ghani berkata, bagi memupuk kepercayaan itu, majikan perlu lebih memahami pekerja agar agihan tugas dapat dilaksanakan secara berkesan tanpa mengakibatkan keletihan melampau atau burnout.

Advertisement

“Kepercayaan itu melibatkan persepsi dan persepsi pula dipengaruhi sejauh mana majikan mengenali pekerja mereka. Justeru, majikan perlu mengetahui siapa yang diselia serta memahami kelebihan dan kekurangan masing-masing.

“Dari segi penjadualan dan agihan tugas di peringkat majikan, jika dilaksanakan dengan baik isu kepercayaan tidak akan timbul,” katanya kepada Bernama pada Jumaat.

Beliau berkata, melalui prinsip kepercayaan, akan wujud elemen unconditional positive regard iaitu penerimaan dan sokongan tanpa menghakimi terhadap individu, sekali gus memberi ruang kepada pekerja melaksanakan tugas dengan lebih tenang di rumah.

“Majikan perlu berpegang pada realiti. Hari ini kita berada dalam situasi yang mencabar maka majikan perlu memahami diri sendiri dan juga pekerja mereka,” katanya.

Siti Fatimah berkata, kepercayaan dibina melalui komunikasi yang berkesan antara majikan dan pekerja boleh meningkatkan komitmen terhadap tugasan walaupun tidak berada di pejabat.

Beliau berkata, dari sudut psikospiritual, asas utama adalah komunikasi serta terdapat konsep 3C yang merujuk kepada hubungan, komunikasi dan komitmen (connection, communication dan commitment)

“Hubungan adalah ikatan antara majikan dan pekerja serta dalam organisasi. Komunikasi pula akan mengukuhkan hubungan itu.

“Apabila komunikasi berlaku dengan baik, ia akan membawa kepada komitmen yang seterusnya mengukuhkan lagi hubungan sedia ada,” katanya.

Pelaksanaan dasar BDR bagi sektor perkhidmatan awam Persekutuan di seluruh negara bermula Rabu lepas (15 April), merupakan sebahagian langkah strategik kerajaan bagi memperkukuh kesiapsiagaan mendepani krisis tenaga global susulan konflik di Asia Barat.

-- BERNAMA 

 

Must Watch Video