Skip to main content

Malaysia

Beberapa jalan di Putrajaya ditutup sempena Hari Kebangsaan

KUALA LUMPUR, 12 Jun -- Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus bercakap ketika sidang media selepas Majlis Peluncuran Advokasi Kesedaran Lalu Lintas di SMK Alam Damai hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Fadil berkata di Putrajaya, penutupan jalan bagi sesi 'Raptai Skeleton' bermula esok hingga Jumaat melibatkan penutupan penuh sepanjang Persiaran Perdana bermula dari Jalan Kemerdekaan hingga Lebuh Bestari. - Gambar fail/Bernama
Advertisement

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan melaksanakan kawalan keselamatan dan lalu lintas secara menyeluruh di ibu negara serta Putrajaya bersempena Sambutan Ambang Merdeka ke-69 dan Hari Kebangsaan 2026, bermula esok.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus berkata di Putrajaya, penutupan jalan bagi sesi 'Raptai Skeleton' bermula esok hingga Jumaat melibatkan penutupan penuh sepanjang Persiaran Perdana bermula dari Jalan Kemerdekaan hingga Lebuh Bestari.

Beliau berkata bagi sesi raptai 28 dan 29 Ogos, lapan jalan utama akan ditutup bermula 6 pagi hingga 12 tengah hari iaitu Dataran Putra, Persiaran Perdana, Laman Perdana, Jalan P2a, Jalan P2t, Jalan P2s, Jalan P2w dan Jalan P2y.

"Pada 30 Ogos, penutupan jalan di Putrajaya bermula 5 pagi hingga 6 petang keesokan harinya secara sepenuhnya melibatkan ‘Core Island’ dan beberapa laluan.

"Antara laluan yang terlibat ialah Jambatan Seri Wawasan, Jambatan Seri Saujana, Jambatan Seri Gemilang, Jambatan Putra dan Jambatan Seri Ehsan, manakala hanya Jambatan Seri Bestari dan Jambatan Seri Setia dibuka untuk akses," katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, Fadil berkata beberapa laluan lain di Putrajaya turut terjejas termasuk Lebuh Bestari, Lebuh Setia, Lebuh Saujana, Lebuh Gemilang, Lebuh Wawasan, Lebuh Sentosa, Jalan Tun Hussein, Persiaran Barat dan Persiaran Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSSAS).

Sehubungan itu, Fadil menasihatkan pengunjung untuk merancang perjalanan serta menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam iaitu bas ulang-alik secara percuma yang disediakan oleh Perbadanan Putrajaya.

Beliau turut mengingatkan orang ramai agar tidak menerbangkan dron tanpa kelulusan di Putrajaya yang merupakan kawasan larangan terbang, selain menasihati penduduk agar tidak cemas dengan bunyi tembakan meriam oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) semasa sesi raptai dan hari sambutan. 

“Sebanyak 2,357 pegawai dan anggota polis akan ditempatkan di Putrajaya bagi menjaga kawalan keselamatan dan kawalan trafik dengan jangkaan kehadiran pengunjung 80,000 orang,” katanya.

Di ibu negara, beliau berkata pihak polis akan melaksanakan Ops Pencegahan Jenayah bersempena Sambutan Ambang Merdeka 2026 dengan tumpuan kepada pemantauan kawasan ‘hotspot’, lokasi tumpuan orang ramai serta usaha mencegah dan membanteras jenayah.

“Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur (JSPT KL) akan menguruskan kawalan lalu lintas di beberapa lokasi tumpuan utama seperti Dataran Merdeka, KLCC dan Sunway Velocity yang akan menjadi tumpuan pembakaran bunga api dan persembahan dron di Menara Kuala Lumpur,” katanya. 

Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan mengenai kawalan lalu lintas boleh menghubungi talian Hotline Polis Kuala Lumpur di 03-2115 9999, Hotline Polis Putrajaya (03-8886 2222) atau Bilik Gerakan JSPT KL (03-2071 9999).

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement