Beberapa kawasan di sekitar Lembah Klang bakal mengalami gangguan bekalan air dari Selasa hingga Jumaat berikutan kerja-kerja pembaikan di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 3 (SSP3).

Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) memaklumkan, kerja-kerja pembaikan oleh Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (Splash) akan menyebabkan henti tugas loji sepenuhnya.

Tambahnya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Jumaat, pelanggan diminta menyimpan air secukupnya sebelum 6 Mac ini.

Antara kawasan yang terlibat termasuk Petaling, Klang, Shah Alam, Gombak, Kuala Lumpur, Kuala Langat dan Hulu Selangor.

Daerah Petaling dijangkan mengalami gangguan bekalan air bermula jam 8 pagi pada Selasa sehingga jam 9 malam pada hari berikutan.

Kawasan Klang dan Shah Alam pula akan mengalami gangguan bekalan air bermula jam 8 pagi pada Selasa sehingga jam 9 pagi pada Jumaat; Gombak sehingga jam 12 malam pada Khamis; Kuala Lumpur sehingga jam 9 malam pada Khamis; Kuala Langat sehingga jam 3 petang pada Rabu; dan Hulu Selangor sehingga jam 9 malam pada Rabu.