GEORGE TOWN: Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) memaklumkan perkhidmatan bekalan air kepada semua 120,000 pengguna yang terjejas akibat kejadian paip bocor di dasar Sungai Perai, Butterworth, di sini pada 23 Jan lepas, telah pulih sepenuhnya.

Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP K. Pathmanathan berkata ia berikutan kerja-kerja pelan B bagi inisiatif respons kecemasan Sungai Perai berjaya disiapkan, iaitu 24 jam lebih awal daripada jadual.

"Dua saluran paip berukuran 600 milimeter (mm) yang baharu telah berjaya disambung merentasi Sungai Perai dan berfungsi seperti diharapkan.

"Setakat 3 petang tadi semua 120,000 pengguna telah mendapat bekalan air semula dan PBAPP sedang mengepam air dari Loji Rawatan Air(LRA) Sungai Dua ke Pulau Pinang pada tahap optimum,'' katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata tarikh akhir yang ditetapkan untuk pemulihan bekalan air penuh sepatutnya ialah pada 3.30 petang esok.

Menurut Pathmanathan PBAPP telah melakukan yang terbaik untuk menyiapkan kerjanya 24 jam lebih awal daripada jadual demi kepentingan pengguna air yang terjejas.

''Kami mengucapkan terima kasih kepada semua pengguna atas pemahaman, kesabaran dan kerjasama yang baik sepanjang tempoh respons krisis ini,'' katanya.

Beliau berkata sekiranya terdapat pengguna yang masih tiada bekalan air, mereka diminta menyemak dengan syarikat pengurusan bangunan tempat tinggal masing-masing sama ada terdapat isu dalaman atau hubungi Pusat Panggilan 24 Jam PBAPP di talian 04-2558255 untuk aduan.

Pada 23 Jan lepas, bahagian saluran paip 1,350 mm di dasar Sungai Perai dikesan mengalami kebocoran yang menyebabkan berlaku gangguan bekalan air kepada kira-kira 120,000 pengguna di negeri ini.

Susulan itu, Ketua Menteri Chow Kon Yeow dilaporkan berkata PBAPP melaksanakan dua pelan tindakan respons kecemasan secara serentak melibatkan plan A iaitu melaksanakan kerja-kerja mengapit semula saluran paip 1,350mm dan pelan B membabitkan kerja-kerja pembinaan dua saluran paip gantian 600mm baharu.

-- BERNAMA