KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri mengumumkan akan memberi air percuma selama dua bulan kepada pemilik akaun yang terjejas akibat saluran paip pecah di dasar sungai Terengganu.

Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata ia sebagai tanda penghargaan atas kesabaran penduduk ketika berdepan dengan krisis dan air percuma itu akan dapat dinikmati setelah kerja-kerja baik pulih selesai.

"Kerajaan Negeri amat memahami kesulitan rakyat menghadapi krisis air yang sedang berlaku. Sehingga kini, pihak Syarikat Air Terengganu (SATU) masih berterusan melakukan kerja pembaikan paip di dasar sungai," katanya dalam kenyataan menerusi Facebook hari ini.

Menurut Ahmad Samsuri sepanjang tempoh krisis, kerajaan negeri juga telah bertindak mengagihkan bekalan air bersih kepada semua penduduk di kawasan yang terjejas.

"Di kesempatan ini saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang membantu meringankan beban rakyat termasuk syarikat bekalan air seluruh negara, agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) dan sukarelawan yang membantu.

"Semoga kerja pembaikan berjalan mengikut jadual sekali gus dapat menamatkan krisis air ini," katanya.

Terengganu berdepan krisis air sejak Isnin lalu berpunca daripada saluran paip pecah di dasar sungai Terengganu dan ia sekali gus menjejaskan kira-kira 28,700 akaun di dua daerah iaitu di Kuala Terengganu dan Kuala Nerus.

-- BERNAMA