KUALA SELANGOR: Kerajaan Selangor mengakui beras cap Ehsan lima kilogram (kg) keluaran Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) mengalami kekurangan bekalan antara 10 hingga 15 peratus pada awal bulan lalu.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, isu kekurangan bekalan itu diperoleh hasil daripada laporan Jualan Ehsan di seluruh negeri ini.

"Kalau ada kekurangan (bekalan beras), ia berlaku di satu atau dua gerai yang kehabisan stok dan tidak sempat untuk restock (tambah semula beras yang habis dijual)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Istiadat Konvokesyen Universiti Selangor (Unisel) kali ke-17 di Kampus Bestari Jaya di sini pada Sabtu.

Amirudin berkata, kerajaan negeri melalui Exco Kemajuan Infrastruktur dan Permodenan Pertanian dan Perladangan, Ir Izham Hashim dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup diminta memantau dengan lebih teliti isu berkenaan.

"Setakat ini, laporannya tidak begitu kritikal dan masih terkawal, malah saya percaya kita dapat tangani termasuk menambah pengeluaran dan juga lebihan dari Sekinchan yang menjadi kawasan pengeluaran padi dan beras negeri," ujar beliau.

Ditanya adakah kerajaan negeri juga bersedia untuk menambah stok bekalan beras semasa Jualan Ehsan Rahmah (JER) di negeri ini, Amirudin berkat,a perkara itu akan dilaksanakan berikutan permintaan tinggi pada masa ini.

"JER akan diteruskan, tetapi paling penting juga kita hendak pastikan di pasar raya bekalannya mencukupi.

"Pada masa ini, empat outlet yang menjual barangan ehsan mencukupi walaupun mendapat permintaan tinggi selepas tersebar di Facebook beras kita lebih murah berbanding beras lain" kata beliau.

Katanya, kerajaan negeri menyediakan subsidi sebanyak RM3 untuk setiap 5kg beras Ehsan yang dibeli penduduk semasa JER.

"Di outlet tiada subsidi beras diberikan melainkan mereka datang dan membeli di JER sahaja," kata beliau. - Sinar Harian