Bekalan ikan di Terengganu mencukupi sepanjang MTL

Kira-kira 10 tan metrik ikan yang menjadi pilihan rakyat disimpan sebagai stok penimbal di Besut, Kuala Terengganu dan Dungun. - Gambar fail/Bernama
DUNGUN: Bekalan ikan di Terengganu dijamin mencukupi bagi menampung keperluan sepanjang Monsun Timur Laut (MTL) yang akan berterusan hingga Mac tahun depan.
Pengerusi Persatuan Nelayan Terengganu Mat Yassin Mohamed berkata ketika ini kira-kira 10 tan metrik ikan yang menjadi pilihan rakyat disimpan sebagai stok penimbal di Besut, Kuala Terengganu dan Dungun.
"Ikan sejuk beku berkenaan sedia untuk dipasarkan bagi memenuhi permintaan pengguna, selain menstabilkan harga pada musim ini," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Mat Yassin berkata harga ikan sejuk beku itu juga dijual pada harga berpatutan bagi mengelakkan pengguna berpendapatan rendah terbeban.
Beliau berkata sebahagian bekalan ikan berkenaan telah dijual di tapak Jualan Rahmah MADANI di negeri ini sejak dua bulan lepas.
Sementara itu, Mat Yassin berkata bekalan ikan mula berkurangan di pasaran sejak awal bulan ini apabila kebanyakan nelayan tidak turun ke laut kerana ombak bergelora dan cuaca tidak menentu sehingga membahayakan keselamatan mereka.
"Sebanyak 6,700 nelayan yang berdaftar dengan Persatuan Nelayan Terengganu dan mereka tidak ke laut menangkap ikan pada MTL ini," katanya.
Beliau berkata bekalan ikan juga diperoleh dari negeri-negeri di Pantai Barat bagi menampung permintaan di negeri ini.
-- BERNAMA
Dapatkan info, ramalan cuaca dan berita terkini di sini


Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

