Bekas juara sebuah program realiti televisyen di sebuah rangkaian televisyen swasta ditahan reman selama enam hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes rogol teman wanitanya.

Perintah reman sehingga 10 Februari ini terhadap penyanyi tersebut dikeluarkan oleh Pendaftar, Nur Haizan Abdul Rahman di Mahkamah Majistret Ampang dekat sini hari ini.

Menurut laporan Utusan, suspek yang berusia dalam lingkungan 20-an itu direman mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah bagi melengkapkan siasatan di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana kesalahan merogol.

Jika sabit kesalahan, penyanyi terbabit boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Mangsa yang merupakan teman wanita suspek dirogol kira-kira pukul 12.40 tengah hari, 31 Januari lalu ketika bersama penyanyi itu di rumahnya di Ukay Perdana, dekat sini.