MALAYSIA
Bekas juruwang didakwa salah guna mesin pin Touch 'n Go eWallet hampir RM600,000

Hakim membenarkan tertuduh diikat jamin RM100,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan berserta syarat tambahan melapor diri di Bukit Aman sebulan sekali. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Bekas juruwang sebuah pasar raya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 14 pertuduhan melakukan pecah amanah dan pengubahan wang haram berhubung mesin terminal pin Touch 'n Go eWallet milik pasar raya itu berjumlah RM568,200.
Nur Atiqah Asyirah Muhamad Fauzi, 28, didakwa atas dua pertuduhan iaitu sebagai pekerja di pasar raya itu yang diamanahkan dengan mesin terminal pin milik pasar raya berkenaan, telah menyalahgunakan mesin tersebut dengan mengeluarkan nilai pin Touch 'n Go eWallet berjumlah RM98,800 untuk ditebus nilai ke akaun Touch 'n Go eWallet milik tertuduh, antara 7 Jan 2023 hingga 9 Julai 2024.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan maksimum 14 tahun dan sebat serta denda, jika sabit kesalahan.
Wanita itu juga didakwa atas 12 pertuduhan memindahkan wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM469,400 ke Touch 'n Go eWallet milik tertuduh, adik-beradik dan rakan-rakannya secara menebus nilai pin Touch 'n Go, iaitu tertuduh menjadikan terminal pin Touch 'n Go yang diamanahkan kepadanya oleh pasar raya terbabit untuk mengeluarkan pin-pin Touch 'n Go eWallet, antara Jan 2023 hingga Ogos 2024.Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Akta Aktiviti Haram 2001 yang boleh dihukum di bawah subseksyen 4(1) akta sama.
Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi.
Timbalan Pendakwa Raya (TPR) M.Saravanan tidak menawarkan jaminan kerana kesalahan tersebut tidak boleh dijamin namun menyerahkan kepada budi bicara mahkamah.
"Sekiranya mahkamah membenarkan jaminan, pihak pendakwaan mohon jaminan RM50,000 bagi pertuduhan pecah amanah dan RM50,000 lagi untuk pertuduhan pengubahan wang haram," katanya yang mengendalikan kes itu bersama TPR Megat Mahathir Megat Tharih Affendi.
Peguam Ainul Azwan @ Ainul Azirahman Ainul Jamal yang mewakili tertuduh memohon jaminan rendah kerana anak guamnya yang kini bekerja sebagai guru tadika dan hanya berpendapatan kira-kira RM1,000, perlu menanggung keluarga termasuk adik-beradik yang masih bersekolah serta bapa yang menghidap diabetes kronik.
Hakim Azrul Darus membenarkan tertuduh diikat jamin RM100,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan berserta syarat tambahan melapor diri di Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram Polis Diraja Malaysia Bukit Aman sebulan sekali dan pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.
Mahkamah menetapkan 18 Nov ini untuk sebutan kes.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami