Bekas menteri dan timbalan menteri persekutuan dari Parti Warisan Sabah (Warisan) diserap menjadi pengerusi Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) di negeri ini.

Dua wakil rakyat berkenaan, Datuk Darell Leiking, bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri serta Datuk Mohd Azis Jamman (Timbalan Menteri Dalam Negeri) telah dilantik jawatan berkenaan baru-baru ini.

Darell, akan menjawat Pengerusi Taman Industri Minyak dan Gas Sabah (SOGIP) manakala Azis menjadi Pengerusi Warisan Harta Sdn Bhd yang merupakan anak syarikat kerajaan negeri.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, mengesahkan pengumuman itu dan menjelaskan kedua-dua ahli parlimen warisan itu bersesuaian dengan pengalaman masing-masing sebelum ini.

“Saya tahu mereka berpengalaman dan berkelayakan, tetapi kita perlu cari yang lain juga yang mempunyai kelayakan dan tentukan di mana mereka boleh ditempatkan,” kata beliau dalam sidang media selepas majlis perasmian aplikasi Sabah Trace, di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS) Kota Kinabalu, pada Rabu.

Sementara itu, ketika mengulas sama ada pelantikan berkenaan bakal memberikan perspektif negatif memandangkan beliau sebelum ini menegaskan tiada pelantikkan wakil rakyat dalam GLC kerajaan negeri, Mohd Shafie berkata, ia sebenarnya tidak menjadi isu kerana mereka mempunyai pengalaman bersesuaian.

“Banyak GLC yang ada diketuai oleh bukan wakil rakyat. Kalau ada satu dua, saya akan tengok dahulu kelayakan, bukan sebab mereka Yang Berhormat.

“Ini bukan sebab saya dapat sokongan mereka kerana saya tidak gunakan kedudukan sebagai satu cara raih sokongan,” ujarnya.