KUALA LUMPUR: Empat suspek tempatan termasuk seorang wanita ditahan semalam kerana disyaki merompak sebuah premis perniagaan di Damansara Damai, Petaling Jaya pada Khamis lepas.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata siasatan awal pihaknya turut mendapati, wanita berkenaan yang bertindak sebagai perancang jenayah itu merupakan bekas pekerja premis perniagaan berkenaan selama tiga bulan pada 2019.

"Dalam kejadian pada Khamis lepas pukul 10 malam itu, penjaga premis perniagaan berkenaan melaporkan seramai tiga orang lelaki tempatan telah memecah masuk biliknya dan mengacukan sebilah pisau serta memaksanya menyerahkan wang yang dimiliki.

"Mangsa telah kerugian kira-kira RM19,000 serta sebuah telefon bimbit," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohamad Fakhrudin berkata, bertindak daripada maklumat daripada mangsa anggotanya telah melakukan beberapa serbuan di sekitar Lembah Klang semalam pukul 1.30 pagi dan menahan keempat-empat suspek yang berusia antara 19 hingga 30 tahun.

Beliau berkata pihaknya juga merampas sebuah kereta Proton Satria, sebilah pisau, lima telefon bimbit, dua beg bimbit dan wang tunai berjumlah RM7,000 daripada semua suspek.

"Suspek telah ditahan reman selama tujuh hari dan kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkumpulan dengan bersenjata jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara selama 20 tahun dan sebat," katanya.

-- BERNAMA