ALOR SETAR: Bekas pemain sepak takraw negara maut selepas motosikalnya melanggar belakang sebuah pikap yang berhenti di lorong kecemasan di Kilometer 40.1 Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara di sini, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.13 malam itu, Mohd Taufik M Saad, 41, yang antara lain mengalami kecederaan parah pada kaki kiri meninggal dunia di lokasi kejadian.
Advertisement
Mohd Taufik yang pernah beraksi untuk skuad negara pada Sukan SEA Laos pada 2009 bekerja sebagai Pembantu Khidmat Awam di Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) Pusat Perubatan Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Syed Basri Syed Ali berkata, kejadian berlaku ketika mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda ADV 160 dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Jitra, selepas menghadiri majlis berbuka puasa bersama majikan di sebuah resort di Bertam, Pulau Pinang.
Katanya, pemandu pikap tersebut pula dalam perjalanan ke Tunjang, Jitra sebelum berhenti di lorong kecemasan bagi mengetatkan tali yang diikat pada tangki air di belakang kenderaan.
“Selepas itu, datang sebuah motosikal yang kemudian melanggar bahagian belakang sebelah kanan pikap dengan impak perlanggaran tersebut menyebabkan penunggang motosikal terbabit melambung serta terjatuh di tengah jalan.
“Pemandu pikap yang merupakan pelajar lelaki sebuah kolej kemahiran berusia 20 tahun mengalami kecederaan patah tangan kiri.
“Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah untuk proses bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.