IPOH:Seorang bekas penjawat awam didenda RM20,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh pada Khamis, atas tujuh pertuduhan memalsukan dokumen resit bayaran kupon letak kereta, 10 tahun lalu.

Bekas pembantu tadbir kewangan, Jabatan Perbendaharaan Sistem Maklumat Majlis Daerah Kampar, Ruddy Nezeri Kamarudin, 38, membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim S Indra Nehru.

Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa atas 34 tuduhan dengan curang memalsukan dokumen resit bayaran terimaan hasil jualan kupon letak kereta, antara 10 Februari hingga 2  Ogos 2011, yang bernilai lebih RM27,000.

Dia didakwa di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 Kanun Keseksaan.

Mahkamah bagaimanapun melepas dan membebaskan tertuduh daripada baki 27 lagi pertuduhan mengikut Seksyen 171 A Kanun Prosedur Jenayah.

Mahkamah kemudiannya menjatuhkan hukuman denda masing-masing RM3,000 terhadap enam tuduhan dan RM2,000 untuk satu tuduhan atau penjara dua bulan untuk setiap kesalahan, sekiranya gagal membayar denda.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nurul Wahida Jalaluddin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.