JOHOR BAHRU: Seorang bekas pengarah urusan sebuah syarikat teknologi maklumat (IT) ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki mengemukakan tuntutan palsu berjumlah hampir RM8 juta.

Menurut sumber, suspek lelaki yang berusia 59 tahun itu ditahan di Pejabat SPRM Johor, kira-kira pada jam 11 pagi tadi selepas hadir memberikan keterangan.

Difahamkan, ketika memegang jawatan pengarah urusan syarikat tersebut, suspek telah mengemukakan tuntutan berkenaan kepada sebuah syarikat lain bagi kerja-kerja melibatkan penggantian barangan IT pada tahun 2016.

Sementara itu, Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan penahanan terbabit dan berkata kes disiasat dibawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Bagaimanapun, suspek dilepaskan dengan jaminan SPRM.