MELAKA: Bekas Pengurus Besar syarikat Panorama Sdn Bhd didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, pada Jumaat, atas tuduhan menyalahgunakan jawatannya untuk melantik anak sendiri sebagai Penolong Pegawai Sumber Manusia di syarikat milik kerajaan negeri itu.

Datuk Abu Bakar Jani, 64, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menggunakan jawatannya dengan terlibat dalam proses temuduga pemilihan jawatan dalam melantik Nurnadiah Abu Bakar, ke jawatan Penolong Pegawai Sumber Manusia di syarikat berkenaan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Syarikat Panorama Melaka Sdn. Bhd. Lot 19B& 19C Zone B, Bangunan Terminal, Melaka Sentral, Jalan Tun Abdul Razak, di sini, pada 27 Disember 2018.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama, sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan denda minimum lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Azriff Firdaus Mohamad Ali menawarkan jaminan sebanyak RM15,000 terhadap tertuduh dan mengemukakan syarat tambahan iaitu pasport perlu diserah kepada mahkamah serta melapor diri ke Pejabat SPRM sebulan sekali.

Tertuduh yang diwakili Peguam Zulfahmi Abu Bakar memohon jaminan dikurangkan dengan alasan tertuduh telah bersara tidak mempunyai pendapatan tetap selain menanggung dua anak masih bersekolah.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM10,000 dan membenarkan syarat tambahan dikemukakan pihak pendakwaan selain menetapkan 15 Mac depan untuk sebutan semula kes. - Sinar Harian