Bekas Timbalan Pengarah Jabatan Air Negeri Sabah (JANS), Teo Che Kong, mengaku tidak bersalah ke atas 146 pertuduhan pengubahan wang haram susulan skandal rasuah jabatan berkenaan yang bernilai lebih RM32 juta di antara tahun 2010 hingga 2016.

Hakim Mahkamah Sesyen Nixon Kennedy Kumbong menetapkan ikat jamin hari ini terhadap Teo, 52 tahun, sebanyak RM1.5 juta dengan RM500,000 sebagai wang deposit serta dua penjamin tempatan serta menetapkan tarikh pengurusan kes pada 16 Januari tahun depan.

Teo diwakili oleh peguam belanya, Roland Cheng dan Hamid Ismail.

Pihak pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah pula diwakili oleh Tengku Amir Zaki Tengku Abdul Rahman dan Mohd Hafiz Hashim.

Terdahulu, dalam pertuduhan mahkamah pagi tadi, pihak pendakwaan meminta hakim meluluskan jaminan wang sebanyak RM10 juta terhadap Teo, namun pihak peguam belanya meminta ianya dikurangkan atas alasan tertuduh sebelum ini berkerjasama rapat dengan SPRM sejak beliau ditahan pada 4 Oktober, 2016 susulan pembongkaran skandal kes rasuah JANS itu.

Mengikut pecahan 146 pertuduhan yang diberikan, 78 daripadanya adalah mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA) 2001 iaitu kesalahan memiliki 70 bidang tanah hasil daripada aktiviti haram melalui 78 transaksi yang bernilai pindah milik RM12.75 juta.

Manakala untuk 68 pertuduhan lagi, mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 iaitu enam kesalahan memiliki wang tunai daripada aktiviti haram berjumlah RM7.9 juta dan RM1.9 juta anggaran mata wang asing dan kesalahan memiliki wang dalam akaun bank hasil daripada aktiviti haram di lapan intitusi kewangan yang bernilai RM12.2 juta.

Untuk jumlah keseluruhan bagi 146 pertuduhan terbabit adalah RM32.9 juta.

Pada 4 Oktober tahun lepas, Teo bersama bekas pengarah jabatan itu, Awang Mohd. Tahir Mohd. Talib, 54, ditahan SPRM dan selepas menggeledah pejabat dan kediaman kedua-dua suspek.

SPRM menemukan wang tunai sebanyak RM52 juta iaitu RM7 juta milik Chee Kong manakala RM45 juta milik Awang Mohd. Tahir.

Turut ditemukan adalah barangan kemas, wang tunai di dalam beberapa akaun di luar negara serta geran-geran tanah yang keseluruhannya bernilai kira-kira RM180 juta termasuk wang tunai.