Skip to main content

Malaysia

Bekas Timbalan Pengerusi Ambank Azlan Hashim meninggal dunia

Ambank
Allahyarham Azlan seorang bekas pemimpin yang dihormati di atas sumbangannya yang membentuk bahagian penting dalam sejarah kumpulan itu.
Advertisement

KUALA LUMPUR: Kumpulan AmBank (AmBank) mengumumkan pemergian bekas Timbalan Pengerusi AMMB Holdings Bhd, Datuk Azlan Hashim yang meninggal dunia pada usia 85 tahun.

Menurut Ambank dalam satu catatan di Instagram hari ini, Allahyarham Azlan seorang bekas pemimpin yang dihormati di atas sumbangannya yang membentuk bahagian penting dalam sejarah kumpulan itu

Tambah Ambank, Azlan memulakan perkhidmatannya dengan kumpulan itu pada 5 Julai 1982, apabila menyertai lembaga Arab Malaysian Development Bank Bhd, yang kini dikenali sebagai AmInvestment Bank Bhd.

Allahyarham kemudiannya dilantik sebagai Pengerusi AmSecurities Sdn Bhd dari 10 Oktober 1986 hingga 3 Mac 2007, sebelum menyertai lembaga pengarah AMMB Holdings Bhd pada 12 Februari 1992, dan seterusnya berkhidmat sebagai Timbalan Pengerusi sehingga persaraannya pada 20 Ogos 2015.

“Sepanjang kerjaya cemerlang selama lebih tiga dekad bersama kumpulan ini, Allahyarham Azlan memegang beberapa jawatan kepimpinan penting merentasi anak syarikat dan entiti berkaitannya,” menurutnya.

Menurut AmBank, Azlan turut berkhidmat sebagai Pengarah Arab Malaysian Eagle Assurance Bhd, yang kini dikenali sebagai AmMetLife Insurance Bhd, dari 1 Mac 1985 hingga 28 Mac 2006 termasuk sebagai Pengerusi dan Timbalan Pengerusi sepanjang tempoh perkhidmatannya. 

Allahyarham juga memegang jawatan sebagai Pengarah AmBank Islamic dari 1 Ogos 1994 hingga 19 Disember 2003 dan AmREIT Managers Sdn Bhd dari 24 Ogos 2008 hingga 12 Ogos 2015.

Selain itu, Azlan juga berkhidmat sebagai lembaga pemegang amanah Yayasan AmGroup sejak penubuhannya pada 18 Disember 1985.

“Jasa dan dedikasi, kepimpinan bijaksana serta sumbangan beliau yang tidak ternilai kepada tadbir urus, pertumbuhan dan pembangunan kumpulan akan sentiasa dikenang oleh keluarga AmBank.

“Kami menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga beliau. Semoga Allah SWT mengampuninya, mencucuri rahmat ke atasnya dan menempatkannya dalam kalangan orang-orang yang soleh di Jannah," menurut AmBank.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement