MELAKA: Duta Besar Belanda ke Malaysia Jacques Werner bersedia membantu kerajaan Melaka menambah baik tarikan dan acara di Muzium Stadthuys.

Selain berkongsi pengalaman, ilmu dan kepakarannya, beliau juga akan menghubungi mana-mana institusi atau individu yang boleh membantu usaha itu.

"Kami akan cuba membantu kerajaan negeri membantu menambah baik apa yang sudah ada di Melaka, termasuk memulangkan mana-mana peninggalan bersejarah Melaka yang diambil semasa situasi perang.

"Pastinya ia bukan hak saya untuk putuskan... tetapi saya akan cuba jika saya boleh hubungi orang atau institusi yang sudi berkongsi koleksi mereka, memandangkan saya lihat adanya keinginan yang besar untuk mendapatkan lebih banyak artifak daripada Belanda untuk muzium ini (Stadthuys)," katanya kepada media ketika ditemui di majlis penutup bengkel pameran di bangunan itu di sini semalam.

Turut hadir Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Warisan, Seni dan Kebudayaan Datuk Zaidi Attan dan Pengerusi Perbadanan Muzium Melaka Datuk Akramuddin Abdul Aziz.

Menyambut baik hasrat Werner itu, Zaidi berkata kerajaan negeri berharap kerjasama daripada kedutaan Belanda itu akan dapat meningkatkan perkongsian dan pertukaran ilmu, kepakaran, malah artifak, yang sekali gus akan menambah baik kualiti muzium berkenaan.

Katanya, meskipun belum ada perbincangan mengenai usaha membawa pulang artifak atau manuskrip Melaka di Belanda, ia perlu diteliti dari pelbagai aspek dan usaha perlu dilaksanakan ke arah itu.

-- BERNAMA