MALAYSIA
Belanjawan 2021: Kerajaan sedang teliti cadangan pembangkang

Kerajaan memberi jaminan Belanjawan 2021 akan menekankan kepada sektor-sektor yang terjejas teruk termasuk pelancongan dan penerbangan negara.
KUALA LUMPUR:Kerajaan menerusi Kementerian Kewangan sedang meneliti cadangan-cadangan yang dikemukakan pembangkang berhubung Pembentangan Belanjawan 2021 yang dijadual Jumaat ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, kerajaan memberi jaminan bahawa Belanjawan 2021 akan menekankan sektor-sektor yang terjejas teruk termasuk pelancongan dan penerbangan negara.
"Saya yakin bahawa Belanjawan Jumaat ini akan memfokuskan kepada isu dan cadangan-cadangan yang dikemukakan pembangkang.
"Benar kita menghadapi masalah serius, dan bukan Malaysia sahaja, tetapi seluruh dunia, dan ramai yang menganggur berbanding sebelum ini.
"Kita perlu ikhtiar baharu berdasarkan keadaan ekonomi dunia dan penurunan ketara hasil kita dengan mendadak.
"Sebab itu kerajaan telah membuat keputusan untuk memastikan bahawa kita jangan terlalu melihat kepada defisit fiskal atau ruang fiskal," katanya di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (PKR-Kulim-Bandar Baharu) yang mahukan perjelasan berhubung langkah luar biasa yang akan dilakukan kerajaan bagi mengatasi kesan yang dihadapi beberapa sektor utama di negara ini.
Pada Ahad, Pakatan Harapan (PH) mengemukakan enam cadangan utama dalam pertemuan dengan Menteri Kewangan berhubung Belanjawan 2021.
Cadangan tersebut antaranya termasuk memperkasa perlindungan sosial, jaringan keselamatan dan pembayaran kebajikan kepada golongan berisiko dan penganggur dengan meningkatkan bantuan kebajikan kepada RM1,000 sebagaimana dijanjikan Perdana Menteri sehingga akhir krisis COVID-19.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami