PUTRAJAYA: Peruntukan Belanjawan 2023 kepada Kementerian Perpaduan Negara adalah responsif, bertanggungjawab serta signifikan kepada komuniti dan masyarakat selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.

Menterinya, Datuk Aaron Ago Dagang, yang menyambut baik pengumuman peruntukan tersebut, berkata pihaknya komited dalam usaha membantu kerajaan mencapai hasrat belanjawan itu.

Katanya, tema Membangun Malaysia MADANI, Belanjawan 2023 yang dibentangkan adalah selaras dengan prinsip MADANI yang mengutamakan kebajikan dan kesejahteraan rakyat Malaysia.

"Belanjawan itu jelas menunjukkan komitmen kerajaan dalam memastikan keharmonian dan kemakmuran rakyat terus dipelihara.

"Belanjawan 2023 telah memperuntukkan pelbagai inisiatif bagi menjamin keharmonian dan perpaduan melalui Ikhtiar 11," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Menurutnya, inisiatif tersebut adalah masing-masing RM50 juta yang diperuntukan bagi menggerak pelbagai program perpaduan dan integrasi nasional antaranya Kembara Perpaduan Malaysia MADANI dan Ini Warisan Kita, serta penyelenggaraan dan baik pulih rumah ibadat bukan Islam di seluruh negara.

Selain itu, katanya geran padanan sebanyak RM50 juta juga diberikan bagi mendorong penajaan sektor swasta untuk program sukan, khususnya sukan yang berteraskan perpaduan dan dana RM25 juta bagi menyemarak kegiatan kebudayaan dan kesenian di peringkat komuniti.

Beliau berkata RM20 juta peruntukan yang disalurkan oleh kerajaan adalah bagi program perpaduan yang berlandaskan penerapan nilai-nilai murni antara kaum dan RM20 juta untuk melaksanakan program gotong-royong di semua sekolah seluruh Malaysia.

"Keutamaan diberikan kepada program sukan, kebudayaan dan kesenian di peringkat sekolah dan komuniti dan bagi memupuk perpaduan di samping mengangkat peranan ibu bapa, komuniti dan NGO dalam pembangunan anak-anak di sekolah," katanya.

-- BERNAMA