KUALA LUMPUR : Usahawan mikro dan penjaja kecil disediakan kemudahan pinjaman di bawah agensi seperti Bank Negara Malaysia (BNM), Bank Simpanan Nasional (BSN) dan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) dengan dana yang tersedia berjumlah RM1.7 bilion. 

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kemudahan itu termasuk peruntukan RM300 juta yang dikhaskan bagi menyokong perniagaan mikro oleh usahawan wanita dan belia.

"BSN menyediakan lebih RM1 bilion dengan tumpuan kepada PKS Mikro dan penjaja. Tekun (Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga) juga menyediakan RM330 juta termasuk RM10 juta untuk membantu belia daripada keluarga susah meraih pendapatan melalui perniagaan.

"Mereka diberi modal memulakan perkhidmatan penghantaran menggunakan motosikal," kata Anwar yang juga Menteri Kewangan semasa membentangkan Belanjawan 2023, di Dewan Rakyat, di sini, pada Jumaat.


Ikuti pembentangan Belanjawan 2023 di sini

Dalam pada itu, kerajaan juga, jelas Anwar, bersetuju menanggung bayaran ujian memandu untuk lesen motosikal kelas B2 dan lesen teksi, bas dan e-hailing.

Bagi perniagaan kecil dan sederhana (SME) pula, katanya, hampir RM10 bilion dana pinjaman disediakan oleh BNM yang antara lain bagi meringankan beban kewangan PKS dan menyokong pengembangan perniagaan.

"Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) sedia menjamin sehingga RM20 bilion pinjaman PKS dengan sektor tumpuan seperti teknologi tinggi, pertanian dan pembuatan diberi jaminan Kerajaan sehingga 90 peratus.

"Jaminan juga diperluas kepada pembiayaan oleh institusi kewangan bukan perbankan seperti syarikat pajakan kredit dan koperasi supaya dapat memberi manfaat khusus kepada penjaja kecil," ujar Perdana Menteri lagi.