Ringkasan AI
- Belanjawan Madani 2025 yang bertemakan 'Negara Makmur, Rakyat Sejahtera' akan memacu pertumbuhan ekonomi negara dengan lebih pesat, sesuai dengan Pelan Perindustrian Baharu Negara (NIMP), Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), dan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).
- Pendekatan dalam belanjawan ini akan memastikan segala langkah kerajaan mengambil kira keperluan komunikasi dan penerangan yang baik untuk mengelakkan keresahan di kalangan rakyat. Penstrukturan semula ekonomi, termasuk langkah seperti Akta Tanggungjawab Fiskal dan peranan Ketua Audit Negara, adalah untuk memperbetulkan masalah struktur negara dan meningkatkan tatakelola.
- Perdana Menteri menekankan pentingnya memastikan rakyat berpendapatan rendah tidak ketinggalan dalam arus pembangunan. Langkah 'Menaikkan Siling' bertujuan untuk menstruktur semula ekonomi bagi mencapai lebih kekayaan, manakala 'Menaikkan Lantai' menumpukan kepada keadilan sosial untuk memastikan kekayaan dikongsi secara saksama. Pejawat awam juga diingatkan agar lebih efisyen untuk menyokong kenaikan gaji dan mengelakkan ketirisan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata bertemakan ‘Negara Makmur, Rakyat Sejahtera’, perencanaan belanjawan tersebut tidak akan lari daripada hala tuju ekonomi negara seperti yang diumum sebelum ini, termasuk Pelan Perindustrian Baharu Negara (NIMP), Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), serta Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).
Bagaimanapun beliau berkata, sesuai dengan perumpamaan - menggapai langit, tetapi mesti berakar di bumi - segala langkah kerajaan melalui belanjawan tersebut perlu mengambil kira keperluan untuk meningkatkan komunikasi dan penerangan, supaya tidak menimbulkan keresahan di kalangan rakyat.
“Tahun lalu seperti saya tegaskan, kita telah meluncurkan Ekonomi Madani, Memperkasa Rakyat sebagai landasan utama membawa pembaharuan, dan tentunya juga perlu sebagai satu kewajaran untuk memperbetulkan permasalahan struktur negara …
“… umpamanya (melalui) Fiskal Responsibility Act, pindaan kepada peranan yang bertambah untuk Ketua Audit negara bagi tujuan memantau kewangan, dan langkah berterusan untuk perbaiki tatakelola.
“Dan ini kita tekankan tentang ‘Menaikkan Siling’, supaya penstrukturan semula ekonomi dalam memacu pertumbuhan, supaya ada daya cipta, daya saing, pendigitalan, kecerdasan pembuatan (AI), dan juga reform (perubahan) dalam penjawat awam,” katanya lagi.
Perdana Menteri berkata, perkhidmatan awam tidak lagi boleh melalui kaedah lama untuk mencapai pendekatan baharu atau dasar baharu, tetapi mesti memegang prinsip - “menggapai di langit, tetapi mesti berakar di bumi”.
Beliau berkata demikian sewaktu menyampaikan ucaptama di Majlis Libat Urus Belanjawan 2025 - Ekonomi Madani - Negara Makmur, Rakyat Sejahtera, di Putrajaya pada Selasa.
Majlis tersebut yang turut dihadiri Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, Timbalan Menteri Lim Hui Ying, dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican, telah melibatkan wakil daripada pelbagai agensi, persatuan dan dewan perniagaan, serta persatuan-persatuan bukan kerajaan (NGO).
Untuk rekod, terma ‘Menaikkan Siling’ merupakan sebahagian daripada kerangka Ekonomi Madani yang bermaksud usaha menstruktur semula ekonomi supaya negara dapat mengecapi lebih kekayaan.
Manakala ‘Menaikkan Lantai’ pula merujuk kepada membawa erti mengutamakan jaringan sosial bagi memastikan kekayaan yang dikecapi dapat dikongsi rakyat secara lebih saksama.
Dalam pada itu Perdana Menteri mengakui langkah menaikkan lantai itu sebagai antara cabaran utama dalam untuk memastikan rakyat, khususnya yang berpendapatan rendah, tidak ketinggalan dalam arus pembangunan.
“Hendak pacu pertumbuhan tapi masyarakat di bawah ketinggalan, kesan daripada keresahan rakyat terutama desa miskin bandar, dan di pendalaman, tak dapat umpamanya merasakan nikmat perubahan yang kita saksikan.
“Jadi saya tentunya mulakan dengan menggesa rakan-rakan terlibat, termasuk agensi penguatkuasaan, agar lebih pantas dan berkesan tindakan. Penjawat awam perlu lebih efisyen, kita mahu laksanakan kenaikan gaji, tapi tak munasabah gaji naik kalau tak ada perubahan, nyata dan jelas tentang keperluan reform, pastikan efficiency, dan elak ketirisan,” tegasnya lagi.
Perdana Menteri berkata, beliau berharap agar majlis tersebut dapat memberi ruang yang lebih luas kepada peserta untuk memberi teguran dan cadangan, agar belanjawan yang bakal dibentangkan tersebut akan bersifat lebih prihatin, memahami kehendak golongan perniagaan, serta masyarakat, persatuan-persatuan, dan akar umbi secara umum.