Ringkasan AI
- Belanjawan 2027 disifatkan komprehensif kerana merangkumi pendidikan, pembangunan kemahiran, peluang pekerjaan dan bantuan kewangan untuk golongan muda.
- Kerjasama antara institusi pendidikan dan industri perlu diperkukuh supaya kemahiran pelajar memenuhi keperluan pasaran pekerjaan semasa.
- Golongan muda digesa lebih cakna dan memanfaatkan pelbagai inisiatif kerajaan agar dapat meningkatkan daya saing dalam era digital dan kecerdasan buatan.
KUALA LUMPUR: Belanjawan 2027 dilihat membawa pendekatan lebih menyeluruh terhadap pembangunan golongan muda apabila tidak hanya menumpukan kepada bantuan kewangan, malah turut merangkumi pendidikan, pembangunan kemahiran dan peluang pekerjaan.
Pensyarah Kanan Jabatan Sains Sosial, Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum, (PPUK) UTHM, Dr Nazreena Mohammed Yasin berkata belanjawan kali ini boleh dianggap komprehensif kerana menggabungkan sokongan jangka pendek dan jangka panjang untuk generasi muda.
“Jika kita lihat pada Belanjawan 2027, saya melihat belanjawan ini sebagai sesuatu yang komprehensif kerana kerajaan bukan hanya memfokuskan kepada pendidikan tetapi juga kemahiran yang perlu diberikan kepada golongan muda,” katanya dalam program Awani Pagi
Tambahnya, pelbagai inisiatif seperti peluang pekerjaan menerusi program Bakat MADANI, latihan kemahiran dan pemerkasaan TVET mampu membantu anak muda menjadi lebih berdikari pada masa hadapan.
“Kalau saya nak komen Belanjawan 2027 untuk golongan muda, saya lihat ia begitu komprehensif kerana ia melibatkan pendidikan, kemahiran dan juga bantuan kewangan. Jadi ada elemen jangka pendek dan jangka panjang,” katanya.
Mengulas cabaran kos sara hidup yang dihadapi golongan muda, Nazreena berpandangan bahawa bantuan kewangan sahaja tidak mencukupi tanpa usaha meningkatkan kemahiran dan daya saing.
“Golongan muda perlu dibantu dari segi kemahiran juga. Kita sekarang sudah beralih kepada penggunaan teknologi dan AI. Mereka perlu menggunakan peluang yang ada untuk meningkatkan kebolehan diri supaya lebih kompetitif,” ujarnya lagi.
Beliau turut menegaskan kerjasama antara institusi pendidikan dan industri perlu terus diperkukuh supaya kemahiran yang dipelajari pelajar benar-benar memenuhi keperluan pasaran pekerjaan.
“Kita perlu memastikan kemahiran yang dipelajari oleh golongan muda ini seimbang dengan keperluan industri supaya apabila mereka memasuki alam pekerjaan, mereka benar-benar bersedia,” jelasnya.
Dalam masa sama, beliau berpandangan pelbagai bantuan yang diumumkan kerajaan hanya akan memberi impak sekiranya golongan muda sendiri mengambil tahu dan memanfaatkannya.
“Walaupun banyak bantuan diberikan dari segi pendidikan, kemahiran dan sistem sokongan, golongan muda perlu lebih cakna dengan apa yang disediakan kerajaan.”
“Cabaran sebenar bukan kekurangan bantuan, tetapi sama ada mereka sedar dan memanfaatkan peluang yang telah disediakan,” tambahnya.
Menurut beliau, dalam era digital dan kecerdasan buatan ketika ini, generasi muda mempunyai lebih banyak peluang berbanding sebelum ini untuk membina kerjaya dan meningkatkan taraf hidup sekiranya mereka bijak mengambil peluang yang ada.