Ringkasan AI
- Lebih satu pertiga pekerja berpendidikan tinggi di Malaysia masih bekerja dalam pekerjaan di bawah tahap kelayakan mereka, menurut data Jabatan Perangkaan Malaysia.
- Isu ketidakpadanan kemahiran dan kekurangan peluang pekerjaan setimpal menyebabkan hampir 37 peratus pekerja berkemahiran tidak bekerja.
- Pakar mencadangkan penciptaan pekerjaan berkualiti dan bergaji wajar dalam sektor berpotensi tinggi untuk memastikan kemahiran tenaga kerja dimanfaatkan secara optimum.
KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu memberi perhatian kepada isu ketidakpadanan kemahiran apabila lebih satu pertiga pekerja berpendidikan tinggi di negara ini masih bekerja dalam pekerjaan yang berada di bawah tahap kelayakan mereka.
Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. Umi Hamidaton Mohd Soffian Lee berkata, cabaran tenaga kerja negara bukan lagi semata-mata berkaitan kekurangan kemahiran.
“Kalau kita tengok hari ini, ada sebahagian graduan ataupun pekerja mempunyai kelayakan akademik. Tetapi kemahiran yang mereka miliki tidak semestinya sepadan dengan apa yang ditawarkan oleh industri ataupun apa sebenarnya yang diperlukan oleh industri,” katanya dalam program Agenda AWANI pada Selasa.
Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), kadar skill-related underemployment (individu berpendidikan tinggi yang bekerja dalam sektor separa mahir atau berkemahiran rendah) pada 35.2 peratus pada suku kedua 2026, melibatkan pekerja berpendidikan tinggi yang bekerja dalam pekerjaan separa mahir atau berkemahiran rendah. Kadar itu menurun 0.5 mata peratus berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.
Dalam perkembangan berkaitan, Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan pada Isnin dilaporkan berkata, hampir 37 peratus pekerja berkemahiran direkodkan tidak bekerja, dengan keadaan itu dikaitkan antaranya dengan ketiadaan peluang pekerjaan setimpal, ketidakpadanan kemahiran dengan permintaan industri serta tawaran gaji yang tidak kompetitif.
Umi Hamidaton berkata, langkah meningkatkan kemahiran atau melaksanakan program upskilling dan reskilling sahaja tidak mencukupi sekiranya pekerjaan yang tersedia selepas itu tidak memerlukan kemahiran berkenaan atau menawarkan tahap pekerjaan yang tidak setara.
“Dalam Belanjawan 2027, saya juga berharap agar bukan hanya menambah peruntukan untuk latihan semata-mata tetapi perlulah disertai dengan penciptaan pekerjaan yang berkemahiran tinggi,” ujarnya.
Justeru, beliau berpandangan, penekanan perlu diberikan kepada penciptaan pekerjaan berkualiti, produktif dan bergaji wajar, khususnya dalam sektor yang mempunyai potensi pertumbuhan tinggi seperti teknologi digital, kecerdasan buatan (AI), semikonduktor, ekonomi hijau dan tenaga boleh diperbaharui.
Menurutnya, pendekatan itu penting bagi memastikan program pembangunan bakat dan latihan yang dilaksanakan kerajaan akhirnya diterjemahkan kepada peluang pekerjaan yang sepadan, sekali gus membolehkan kemahiran tenaga kerja dimanfaatkan secara optimum oleh ekonomi negara.
Belanjawan 2027 dijadual dibentangkan di Dewan Rakyat pada Jumaat ini oleh Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Pembentangan bacaan kali kedua Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 dijadual bermula pada jam 3.30 petang.
Agenda AWANI: Belanjawan 2027 | Bakat Mahir Tidak Bekerja, Apa Solusi?