Skip to main content

Malaysia

Belanjawan 2027: Isu doktor kontrak dinoktahkan, lebih 9,000 diserap ke jawatan tetap

Isu doktor kontrak dinoktahkan menerusi Belanjawan 2027 dengan lebih 9,000 doktor kontrak diserap ke jawatan tetap tahun depan. Selepas ini, semua doktor tamat latihan siswazah terus ditawarkan jawatan tetap Pegawai Perubatan. Dalam masa sama, elaun pos basik 47,000 jururawat dan paramedik digandakan ke RM200 sebulan.
Isu doktor kontrak dinoktahkan menerusi Belanjawan 2027 dengan lebih 9,000 doktor kontrak diserap ke jawatan tetap tahun depan. Selepas ini, semua doktor tamat latihan siswazah terus ditawarkan jawatan tetap Pegawai Perubatan. Dalam masa sama, elaun pos basik 47,000 jururawat dan paramedik digandakan ke RM200 sebulan.

Advertisement

Ringkasan AI

  • Kerajaan mengumumkan pelantikan tetap bagi semua doktor yang menamatkan latihan siswazah, menamatkan isu pegawai perubatan kontrak.
  • Pada tahun 2027, lebih 9,000 doktor kontrak akan ditawarkan jawatan tetap, susulan peningkatan peruntukan KKM kepada RM47.7 bilion.
  • Kadar Bayaran Insentif Pos Basik untuk 47,000 paramedik dan jururawat dinaikkan kepada RM200 sebulan, selain insentif tambahan untuk petugas kesihatan udara.

KUALA LUMPUR: Kemelut pegawai perubatan kontrak yang berlarutan sejak sekian lama akhirnya menemui titik noktah apabila kerajaan mengumumkan pelantikan tetap bagi semua doktor yang menamatkan latihan siswazah.

Perkara itu diumumkan oleh Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketika membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan (2027) di Dewan Rakyat pada Jumaat.

Menurut Anwar, bagi tahun 2027 sahaja, lebih 9,000 doktor kontrak akan ditawarkan ke jawatan tetap.

"Sukacita saya umumkan, isu doktor kontrak akan dinoktahkan. Sejak 2023, Kerajaan MADANI telah melantik secara tetap lebih 15 ribu doktor kontrak termasuk 4,000 pada tahun ini. Bagi tahun 2027, lebih 9,000 doktor kontrak akan ditawarkan ke jawatan tetap.

"Bermakna, selepas ini, doktor yang menamatkan latihan siswazah akan ditawarkan jawatan tetap Pegawai Perubatan," kata beliau sewaktu membentangkan Belanjawan MADANI Kelima di Parlimen hari ini.

Langkah penyerapan secara menyeluruh itu dibuat susulan peningkatan peruntukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kepada RM47.7 bilion bagi tahun hadapan berbanding RM46.5 bilion sebelum ini.

Selain penyelesaian status perjawatan doktor, kebajikan petugas barisan hadapan kesihatan lain turut diberi perhatian menerusi kenaikan kadar Bayaran Insentif Pos Basik bagi 47,000 anggota paramedik dan jururawat daripada RM100 kepada RM200 sebulan.

Kerajaan turut menaikkan kadar Bayaran Insentif Perkhidmatan Kesihatan Udara sebagai menghargai pengorbanan petugas susulan nahas helikopter Perkhidmatan Doktor Udara di Long Lellang.

Bagi menangani masalah kesesakan fasiliti awam, KKM menyediakan dana RM200 juta untuk menyumber luar pesakit ke hospital swasta termasuk penggunaan dewan bedah, di samping memperluas skim pelantikan pakar pesara secara lebih anjal.

 

 

Must Watch Video

Advertisement